Graduan UiTM mampu bina keyakinan diri

Tun Dr Mahathir Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya yakin semua graduan kelahiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan tetap bina keyakinan diri,” kata mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyatakan demikian sempena ulang tahun ke-25 UiTM.

“Sudah suku abad usia UiTM yang mana ribuan graduan telah dilahirkan dalam tempoh tersebut, ada yang berjaya menghadapi cabaran kehidupan manakala ada yang tercicir.

“Namun begitu, saya yakin graduan UiTM termasuk yang tercicir akan tetap bangun dan membina keyakinan diri untuk menghadapi arah melintang,” katanya dalam video media sosial di Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, wujudnya keyakinan tersebut adalah kerana tujuan UiTM sendiri dilahirkan bagi membantu bangsa Melayu dan bumiputera daripada kemiskinan serta kesusahan.

Tambahnya, universiti tersebut bukan hanya sekadar merupakan sebuah institusi pengajian tinggi semata-mata.

“Ini kerana UiTM merupakan satu simbol perjuangan bangsa dan juga sebagai wadah untuk anak-anak bangsa mencari tapak untuk berdiri dan membina keyakinan diri.

“Oleh kerana universiti tersebut adalah satu perjuangan, maka setiap anak bangsa yang diterima sebagai pelajar perlu sedar bahawa mereka mendapat satu keistimewaan yang diiringi dengan satu amanah.

“Maka, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk setiap pelajar UiTM untuk sedaya mungkin memastikan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diambil memandangkan ianya adalah satu amanah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap pelajar UiTM bahawa tanggungjawab tersebut bukan hanya terhenti dengan sekadar mengambil ijazah atau menamatkan kursus yang diambil semata-mata.

Kata beliau lagi, ini kerana tanggungjawab sebegitu adalah berterusan sehingga ke akhir hayat.

“Para graduan UiTM perlu ingat bahawa kelompok yang tidak suka kepada usaha untuk memperkasakan anak-anak Melayu dan bumiputera sering menghina UiTM itu sendiri.

“Penghinaan sebegini tidak membawa makna jika para graduan ini membuktikan keupayaan, kesungguhan serta kejayaan mereka itu sendiri.

“Alhamdullillah ramai dalam kalangan mereka bukan sahaja berjaya membuktikan keupayaan mereka tetapi juga mengatasi graduan-graduan universiti lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -