KUANTAN: PAS Pahang akan meneruskan aktiviti menziarah dalam usaha untuk mengukuhkan jalinan persefahaman dengan persatuan Tionghua.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Andansura Rabu menyatakan demikian susulan program ziarah kasih ke pusat penjagaan warga emas kaum Tionghua di Bukit Ubi, di sini Ahad lepas. (Foto atas)
Katanya, kira-kira 30 orang penghuni disantuni dalam sesi ziarah ringkas itu.
Pusat itu dikendali dan diuruskan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Tionghua Kuantan.
Menurutnya, sebahagian pimpinan PAS negeri termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) meluangkan masa bersama-sama dalam sesi ziarah yang diatur oleh Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kawasan Indera Mahkota.
“Kedatangan kami disambut baik pihak pentadbir pusat berkenaan dan saya diberi ruang untuk memberikan sedikit ucapan mewakili rombongan,” ujarnya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.
Beliau yang juga ADN Beserah berkata, sedikit buah tangan disampaikan sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada pusat jagaan itu.
“Mudah-mudahan para penghuni di sini diberikan kesihatan yang baik dalam meniti usia emas. Kepada pihak pentadbir, tahniah diucapkan di atas khidmat penjagaan yang baik.
“Sesi ziarah seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan jalinan persefahaman di antara segenap organisasi PAS Pahang dangan persatuan-persatuan Tionghua di negeri ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!