‘Wap kehangatan PAU 2024 hanya disambut gelak kecil PH-DAP’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jika Umno mahu bangkit, perlu ke hadapan dalam memperjuangkan politik Penyatuan Ummah sebagaimana semasa ‘Muafakat Nasional’ dahulu yang telah menerima sokongan padu akar-umbinya sendiri.”

Itu penegasan Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir yang juga berkata, namun hari ini Presiden Umno memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan perlu pula ‘berdakap’ dengan DAP yang dominan dalam gabungan PH. 

- Advertisement -

“Jika Umno anggap (Pilihan Raya Kecil) Nenggiri faktor yang akan membawa kepada kemenangan besar mereka sehingga mampu kembali mendominasi kerajaan, ternyata mereka akan kecewa selagi mereka tidak berubah dan memperbetulkan kompas politik mereka.

“Percayalah wap yang keluar dari kehangatan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 itu hanya disambut dengan gelak kecil dan senyuman Pakatan Harapan (PH) khasnya DAP di luar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.

Menurut Roslan, kemenangan Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah melonjakkan semangat pimpinan dan perwakilannya dalam PAU hujung minggu lepas. 

Beliau berkata, Umno memang memerlukan ‘pil kuat’ seumpama Nenggiri untuk menaikkan imejnya setelah kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diikuti PRU ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-enam, tahun lepas.

“Adalah juga suara yang mengatakan Umno masih belum kuat, Umno perlukan beberapa pilihan raya lagi untuk bangkit, Umno perlu bersendiri untuk kuat (memisahkan diri dari DAP) tetapi kekuatan aura Nenggiri telah membuai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 sehingga perwakilan lupa pada kekecewaan lampau. 

“Suasana di World Trade Centre (WTC) minggu lepas seolah-olah membawa mereka kembali ke era kekuatan mereka paling kurang selepas PRU 2004 zaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Umno sahaja menang 109 kerusi Parlimen tak termasuk kawan-kawan lain dalam Barisan Nasional (BN).

“Tidak salah membenarkan imaginasi berlari liar, sekurang-kurangnya ia menghiburkan selama berada dalam dewan berhawa dingin di PWTC itu,” jelas beliau.

Tambah Roslan, realiti di luar sana sememangnya Umno menang dalam PRK DUN Nenggiri, dan tidak mustahil juga di DUN Mahkota, negeri Johor.

“Namun, cukupkah kemenangan PRK sebagai indikator yang berupaya mengembalikan Umno ke era kegemilangan dan kekuatannya sebagaimana selepas PRU 2004 dulu?

“Jangan lupa hari ini Umno cuma menumpang sebagai rakan kongsi kecil dengan 26 kerusi Parlimen dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP. 

“DAP sahaja ada 40 kerusi, jauh mengatasi Umno walaupun Umno berbangga dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri,” jelas Roslan lagi.

Dalam pada itu menurut beliau, pada ketika ini, Umno tidak layak dan tidak lagi boleh mendabik dada sebagai parti yang mewakili suara umat Melayu, dengan cuma mempunyai 26 kerusi Parlimen.

Menurut beliau juga, Umno tiada kerusi Parlimen di empat buah negeri dengan majoriti kaum Melayu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan serta Terengganu; dan Umno juga tiada wakil Parlimen di Pulau Pinang, Selangor begitu juga Melaka di mana kubu-kubu kuat mereka dahulu. 

“Memang dulu, tahun 2004 ia bolehlah mendakwa dirinya sebagai jurucakap Melayu tetapi hari ini tidak lagi.

“Di DUN Terengganu, Umno tiada langsung wakil, begitu juga di Perlis dan Kedah. Di Selangor dan Kelantan Umno cuma ada 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Dan Umno jangan cuba-cuba lupa pada punca kejatuhan mereka dulu. Kemenangan di Nenggiri seolah memadamkan segala kelemahan Umno yang lampau. 

“Jika Umno menganggap begitu, mereka akan hanyut lebih jauh tidak akan mampu bangkit-bangkit,” ulas beliau lagi.

Beliau juga menegaskan, Umno dijatuhkan dahulu adalah lantaran digambarkan sebagai ‘penyakau serta penyamun’, dan segala ketempangan begitu juga kepincangan di dalam kerajaan pra PRU 14 dilonggokkan kepada Umno, dan Umno tidak berupaya mempertahankan diri.

“Naratif yang dibina pembangkang pra PRU 14 dan 15 berjaya meyakinkan rakyat ketika itu. Kawan-kawan Umno dalam kerajaan hari inilah khasnya PKR dan DAP yang ‘mempopularkan lagu’ yang memburukkan Umno dan mengaitkan Umno sebagai perasuah dan menuduh Umno menggunakan kedudukan untuk mengkayakan diri.

“Hari ini segala tuduhan dan naratif itu sudah termakan rakyat, pimpinan Umno naik turun mahkamah dan ada yang telah dipenjara (tidak termasuk yang terima DNAA (Lepas tanpa bebas) walau sudah mula dihadapkan dengan 47 pertuduhan di mahkamah). 

“Mampukah Umno bangkit semula, atau Nenggiri memadamkan segala yang buruk itu?

“Umno perlu jalan keluar yang tuntas. Politik hari ini sudah jauh berubah berbanding zaman kegemilangan Umno dulu dan umat Melayu, iaitu teras kekuatan sokongan sama ada buat Umno, PAS atau Bersatu sudah cukup matang dan dewasa dalam memahami isu dan membuat pilihan.

“Politik Melayu hari ini cukup kuat berpegang dan mendaulatkan agama. Orang Melayu hari ini jangan dianggap macam yang dulu, hari ini mereka menuntut pimpinan yang bersih, berwibawa dan bertaqwa. 

“Bukan pemimpin yang pandai menari dan menyanyi yang dicari tetapi pemimpin yang boleh memimpin mereka di dunia sehingga ke akhirat. Pemimpin yang memahami mereka,” hujah beliau.

Isu Palestin, boikot, serta ‘Buy Muslim First’, ujar Roslan, adalah bukti sikap baharu dan kematangan orang Melayu hari ini dalam menangani isu semasa di mana menunjukkan mereka tidak lagi boleh ditindik hidung dipaksa atau ditekan.

“Orang Melayu juga mula pertikaikan mengapa mereka walaupun puluhan tahun dipimpin Umno tetapi masih jauh ketinggalan dengan kaum lain dalam tanah air sendiri. 

“Mereka kecewa bila pimpinan Melayu gagal menangani isu kenaikan kos hidup, gagal membela nasib dan kebajikan mereka.

“Apa yang paling ketara hari ini, orang Melayu tidak gemar pada parti rasis dan ekstrem seperti DAP yang sering mempertikaikan hak serta keistimewaan mereka, dan akan menolaknya atau sesiapa sahaja yang berkawan dengannya sebagaimana berlaku terbaru dalam PRK DUN Sungai Bakap.

“Mana mahu jumpa jalan keluar jika Umno masih dipimpin oleh pimpinan kanan yang sama sebelum mereka kecundang dalam PRU 14 dan 15,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024