Terengganu bakal terima pelaburan ladang ayam berteknologi tinggi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal menerima pelaburan besar dalam pembangunan ladang ayam berteknologi tinggi yang dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam di negeri dan negara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman, keputusan itu dicapai selepas pertemuan kali ketiga diadakan dengan dua syarikat Korea dalam usaha pelaksanaan projek terbabit.

Beliau berkata, tanah untuk projek itu telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan di bawah program Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT).

- Advertisement -

“Antara perkara yang dibentangkan adalah selain cara pemprosesan terkini dan pengadaptasian teknologi tinggi, ianya juga dibentangkan faedah yang akan diperolehi oleh Ladang Rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Perbincangan yang positif, Insya-Allah dengan kedatangan pelabur ini akan membantu untuk menyelesaikan masalah kekurangan ayam di negeri dan negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Dr Nasiman Sapari memberitahu sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2030 sukar dicapai.

Pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!