KUALA LUMPUR: Seorang mukmin tidak wajar memikirkan tentang diri sendiri tanpa mengambil tahu dan menolong saudara seagamanya sekiranya ditimpa kesusahan tanpa berasa susah hati dan tidak senang duduk.
Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Kuang dalam kenyataannya berkata, kesatuan umat Islam akan lemah jika tidak saling kuat-menguatkan antara satu sama lain.
“Lebih menyedihkan ialah ada sebahagian kita yang selalu tuduh-menuduh, bertengkar dan malah bermusuhan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, perkara ini juga termasuk dalam hadis riwayat Muslim nombor 2585 yang bermaksud, ‘mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain.
“Bagaimana hendak kukuh sesebuah bangunan jika setiap komponen bangunan tidak saling kukuh-mengukuhkan?” soalnya.
Tambah beliau, perkara yang menjadi masalah turut berlaku apabila perasaan ‘kekitaan’ sesama umat Islam telah hilang.
“Perasaan ‘satu ummat’ yang pernah disatukan oleh Rasulullah SAW ketika hayat Baginda dan disambung usaha itu oleh sahabat RA telah luntur akibat masing-masing taksub dengan pandangan dan kumpulan masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024