Pelesenan media sosial boleh kekang inovasi – AIC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan yang mewakili syarikat internet dan teknologi terkemuka, Asia Internet Coalition (AIC) mendakwa bahawa langkah pelesenan media sosial oleh kerajaan tidak boleh dilaksanakan untuk industri kerana ia boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar kepada perniagaan.

Pengarah Urusannya, Jeff Paine berkata, langkah tersebut akan menghalang pelaburan berterusan dan masa depan disebabkan oleh kerumitan serta kos pematuhan.

- Advertisement -

AIC yang antaranya dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab telah menghantar bantahan melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat (23 Ogos) lalu.

Sehubungan itu, AIC menggesa kerajaan menghenti dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan mengenai pelesenan untuk platform media sosial.

Menurut beliau, pihaknya berusaha untuk menggalakkan dialog antara sektor awam dan swasta di seluruh rantau Asia-Pasifik mengenai isu dasar internet dan amalan terbaik, terutamanya berkaitan ekonomi digital yang semakin berkembang.

“Tiada rundingan awam secara rasmi mengenai perancangan terbabit, sekali gus membawa kepada ketidakpastian industri berhubung skop obligasi yang akan dikenakan ke atas platform media sosial.

“Tiada platform boleh dijangka mendaftar bawa syarat sebegini,” katanya dalam surat itu yang dipaparkan dalam laman di laman web AIC pada Isnin.

Oleh yang demikian, AIC turut menyatakan kebimbangan bahawa peraturan yang mahu dilaksanakan itu boleh menjejaskan ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang serta menarik pelaburan besar pada tahun ini.

“Pihak AIC akan berkongsi komitmen dengan kerajaan untuk menangani bahaya dalam talian, namun garis masa pelaksanaan yang dicadangkan didakwa menyebabkan industri tidak jelas dan tiada masa mencukupi untuk menilai implikasinya,” ujar kenyataan AIC.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi enggan mengulas mengenai surat itu, manakala Pejabat Perdana Menteri belum lagi respons kepada permintaan untuk komen, setakat ini.

Terdahulu juga, semua media telah melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memiliki sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini memaklumkan bahawa pelesenan media sosial  akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025, susulan satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan bermula 1 Ogos lalu.

Menurut MCMC, kegagalan mana-mana perkhidmatan berkenaan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa, adalah kesalahan dan kerangka awal selia baharu itu  hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna. – HARAKAHDAILY 27/8/2024