Mpox serang 120 negara: 100,000 kes, 541 maut

Wabak Mpox kini diisytiharkan oleh WHO sebagai '‘kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa'. (FOTO: Verify)
- Advertisement -

GENEVA: Lebih 120 negara telah melaporkan Mpox antara Jan 2022 hingga Ogos 2024, dengan lebih 100,000 kes dan 541 kematian telah direkodkan dalam kalangan kes yang disahkan.

Dalam laporannya, Al Jazeera berkata, semakin Mpox kian merebak, kebimbangan semakin meningkat tentang kes varian Mpox 1b yang disahkan berpotensi membawa maut.

- Advertisement -

Uganda telah melaporkan dua kes baharu strain clade 1b virus mpox pada 22 Ogos lalu, apabila kementerian kesihatan negara itu telah mengumumkan bahawa salah seorang pesakit adalah pemandu trak dan kedua-duanya berada dalam pengasingan di sebuah hospital di Entebbe, kira-kira sejam di selatan ibu negara.

Burundi, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ghana, Ivory Coast,  Kenya, Liberia, Mozambique, Nigeria, Pakistan, Filipina, Republik Demokratik Congo (DRC), Rwanda, Afrika Selatan, Sweden, Thailand dan Uganda telah melaporkan kes varian Mpox berkenaan, yang kini jumlah terkumpulnya mencecah 18 kesemuanya.

Mpox telah dikenal pasti di Afrika sejak tahun 2022, pada asalnya dikesan di DRC.

Wabak semasa dicetuskan oleh Clade 1, dipercayai varian yang lebih serius yang boleh yang boleh merebak melalui sentuhan kulit ke kulit.

Pada tahun 2023, strain baharu Clade 1 telah ditemui di DRC – Clade 1b.

Wabak berbeza dari varian Clade 2 terdahulu virus itu juga merebak, walaupun pada tahap yang lebih rendah, dengan lebih daripada 100 negara melaporkan jangkitan pada bulan lepas.

Clade 2 dipercayai menyebabkan jangkitan yang lebih ringan dan mempunyai kadar kematian sebanyak 0.2 peratus berbanding 3.9 peratus untuk Clade 1.

Menurut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika) dan kerajaan Kenya, Mozambique, Uganda dan Pantai Gading, varian mpox Clade 1 telah dikesan di negara-negara berikut pada tahun ini.

Burundi (lapan kes, sifar kematian); Cameroon (35 kes, 2 kematian); Republik Afrika Tengah (213, sifar kematian); Ivory Coast (28 kes, 1 kematian); Republik Congo (146 kes, 1 kematian); DRC (13,791 kes, 450 kematian); Ghana (2 kes, sifar kematian); Liberia (5 kes, sifar kematian); Nigeria (24 kes, sifar kematian); Rwanda (2 kes, sifar kematian); Afrika Selatan (22 kes, 3 kematian); Uganda (4 kes, sifar kematian); Kenya (1 kes, sifar kematian); Mozambique (1 kes, sifar kematian).

DRC sedang mengalami wabak Mpox tertinggi yang pernah direkodkan, menyaksikan 13,791 kes dan 450 kematian telah direkodkan setakat 21 Ogos 2024; yang mana kerajaan negara itu telah mengisytiharkannya sebagai wabak pada Disember 2022.

Hampir semua kes yang dilaporkan – sebanyak 96 peratus di seluruh Afrika adalah  di DRC, lokasi di mana kanak-kanak di bawah 15 tahun menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

Varian Clade 1b baharu juga telah dikesan di negara jiran DRC – Kenya, Rwanda dan Uganda, yang sebelum ini tidak melaporkan sebarang kes sejak wabak itu bermula pada 2022.

Setakat ini, 541 kematian telah direkodkan di seluruh dunia akibat Mpox, dengan 535 di DRC (97 peratus).

Sementara di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, mengumumkan sebanyak 31 kes mpox  disyaki di Malaysia setakat semalam dengan 25 kes disahkan negatif manakala enam masih dalam pemantauan.

Terdahulu, pada 14 Ogos lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan usaha pelan persediaan dan tindak balas strategik global untuk menangani penularan Mpox daripada manusia kepada manusia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus  berkata, Pelan Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Strategik akan bermula dari September 2024 hingga Februari 2025, dengan kos pembiayaan yang diperlukan adalah sebanyak AS$135 juta.

“Langkah itu dibuat selepas pengisytiharan kecemasan kesihatan awam. 

“Usaha vaksinasi strategik itu menyasarkan golongan paling berisiko seperti kontak rapat kes dan pekerja kesihatan untuk memutuskan rantaian penularan,” katanya.

Menurut laporan Xinhua, penyelarasan global, serantau dan nasional ini adalah bertujuan untuk meningkatkan strategi pengawasan dan tindak balas, memastikan akses saksama kepada diagnostik dan vaksin, mengurangkan penularan haiwan ke manusia, serta memperkasakan komuniti dalam mengawal wabak.

Selain itu, pelan strategik itu akan memberi tumpuan kepada kepimpinan kebimbingan strategik dan memastikan akses rawatan perubatan bagi kumpulan paling berisiko di negara terjejas.

“Wabak Mpox di DRC dan negara jiran boleh dikawal, dan boleh dihentikan,” kata Tedros.

Selain itu, ibu pejabat WHO dan pejabat serantau telah menubuhkan pasukan sokongan pengurusan insiden untuk mengetuai aktiviti persediaan, kesediaan dan tindak balas, serta meningkatkan jumlah kakitangan dengan ketara di negara yang terjejas. 

WHO sebelum ini, juga mengisytiharkan virus itu sebagai ‘kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa’ sambil menekankan bahawa Mpox ‘bukan Covid-19 baharu’.

Ini adalah amaran kecemasan kedua berkaitan Mpox daripada agensi kesihatan global dalam tempoh dua tahun sejak 2022. -Agensi/– HARAKAHDAILY 27/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!