HANYA selepas dua minggu menceroboh Masjid Al-Aqsa, menteri yang bertanggung jawab terhadap keganasan di Tebing Barat dan Gaza mengumumkan hasratnya untuk membina biara (kuil) Yahudi di Masjid Al-Aqsa.
Menteri Keamanan, Itamar Ben-Gvir mengumumkan hasrat itu pada pagi Isnin 26 Ogos 2024 dalam satu sidang media.
Menurutnya, pembinaan biara berkenaan tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang memberi hak sama rata kepada orang Islam dan Yahudi untuk beribadat di kompleks Al Aqsa yang mereka gelarkan sebagai Jabal Haikal.
Mengulas kenyataan berkenaan, Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Ikrimah Sabri dalam siaran langsung yang disiarkan _Al-Jazeerah_ menegaskan, Masjid Al-Aqsa berada lebih tinggi dari undang-undang rejim Zionis.
“Ia tertakluk kepada perisytiharan dari atas langit ke tujuh. Allah menetapkan ia bagi orang-orang yang beriman. Israel tiada hak ke atas tanah ini. Apatah lagi sehingga kini kaum Yahudi gagal membuktikan hak mereka ke atas bukit dan masjid ini.”
Tambahnya, “Al Aqsa akan kekal milik orang Islam sehingga hari kiamat.”
Dalam reaksi balas segera, pergerakan HAMAS mengeluarkan kenyataan menyeru negara-negara Islam agar bertindak menghalang rancangan rejim Zionis ini. Ia bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak pertumpahan darah di kalangan rakyat Palestin.
HAMAS menyifatkan kenyataan Ben-Gvir itu sebagai cubaan menyiram minyak di atas api.
HAMAS juga menyeru seluruh warga Palestin khususnya yang tinggal di Tebing Barat agar bangun mempertahankan Masjidil Aqsa. Mereka diseru supaya beriktikaf dan berkawal sepanjang masa di masjid berkenaan.
Dalam masa yang sama para pejuang diminta meningkatkan penentangan mereka terhadap keganasan tentera dan pendatang Yahudi.
Kenyataan HAMAS turut menegaskan bahawa keseluruhan bangsa Arab dan umat Islam sama ada kerajaan mahupun rakyat diseru supaya bertindak tegas mempertahankan qiblat pertama umat Islam ini.
Masjid Al-Aqsa adalah masjid ketiga terpenting umat Islam selepas Masjid Al-Haram di Makkah dan Masjid An-Nabawi di Madinah.
Oleh:
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 27/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!