Wakil rakyat Klate Kito wat gapo? (25 Ogos ’24)

Nassuruddin dan Shahidan
- Advertisement -

RUTIN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan turun ke kampung-kampung tidak pernah terhenti selagi mereka menggalas amanah berkenaan.

- Advertisement -

Dengan cara dan kaedah yang tersendiri, mereka turun ke bawah untuk bersama masyarakat kampung, menyelesaikan masaalah keperluan awam dan berbagai lagi.

ADUN Meranti: Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
Beliau melahirkan rasa tenang apabila bersama rakan-rakan seperjuangan (pimpinan) yang pandai membuat celoteh dengan berbagai ragam.

Beliau menceritakan bagaimana celoteh Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim yang memintanya bersama-sama membuat gaya ‘best’ (angkat ibu jari).

“Macam-macam ragam sahabat dalam perjuangan memberi kedamaian hati di saat sarat beban harian.

“Saat berhimpun di Mesyuarat PAS Pusat seolah satu aura baharu meresap memberi kekuatan. Saling bahu-membahu dan melengkapi,” katanya.

Lagi teruja jelasnya, apabila melihat semangat dan kekuatan Tuan Guru Ayah Chik (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) yang sentiasa membajai mereka dengan butiran kalam hikmah perjuangan agar amanah dan tanggungjawab dapat digalas sebaiknya.

ADUN Selising: Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Agro Makanan dan Komoditi ini telah menyerahkan cek Bantuan Usahawan kepada Mustafa Omar di Kampung Bukit Abal.

Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk membantu usahawan kecil meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Mustafa merupakan seorang usahawan tempatan, telah lama menceburi bidang perabot, dengan menghasilkan pelbagai jenis perabot seperti almari, rak, dan sebagainya.

“Dengan bantuan kewangan ini, diharap beliau dapat memperluas perniagaannya serta meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan,” katanya lagi.

ADUN Apam Putra: Zamakhshari Muhamad
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat ini telah turun ke Padang Hoki Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 di sini.

Beliau meluangkan masa seketika di sekolah berkenaan untuk melihat persediaan pasukan hoki bawah 17 tahun yang akan menyertai Kejohanan Pembangunan Hoki Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil.

“Saya juga sempat bertanya dan mendapatkan maklumat tentang isu dan cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurus pasukan hoki.

“Saya dengar dan ambil maklum setiap perkara yang telah dibangkitkan. Semoga semua urusan kita dipermudahkan oleh Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -