Tujuh peguam PN siap sedia bela Muhyiddin esok

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekurang-kurangnya tujuh peguam bersiap sedia untuk menyertai pasukan pembelaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Gua Musang, esok.

- Advertisement -

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, barisan peguam itu antaranya mungkin akan turut disertai oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS.

Menurutnya, persediaan dibuat dengan barisan peguam yang ada daripada BERSATU dan PN, termasuk peguam peribadi untuk bergabung membela pemimpin tertinggi PN itu

“Peguam mana yang mengetuai barisan itu kelak akan diputuskan sendiri oleh beliau (Muhyiddin),” katanya pada media selepas merasmikan Program Jiwa Merdeka Hotel Jewels, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Hotel Jewels, Muhammad Azrin Zainal Abidin.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri disiasat kerana dipercayai menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada ceramahnya sempena kempen PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri itu memberitahu, Muhyiddin yang hadir ke mahkamah esok akan turut ditemani peguam untuk mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli parti dan penyokong PN khususnya supaya bertenang dan bersabar menghadapi perkara itu.

Menjawab pertanyaan, beliau tidak dapat pastikan jumlah kehadiran penyokong yang akan hadir ke mahkamah berikutan pertuduhan akan dibacakan jatuh pada hari bekerja. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!