KUALA LUMPUR: Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berhasrat untuk segera menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kejadian tanah jerus atau lubang benam di seluruh pusat bandar raya Kuala Lumpur adalah sangat disokong.
Ketua Pengarah NGO Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, disarankan agar satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan mendalami isu ini lebih perlu diutamakan dan disegerakan bagi memastikan bandaraya Kuala Lumpur benar-benar selamat dari kejadian tanah jerlus yang dikhuatiri akan terus berlaku.
“Banjir kilat, tanah jerlus (atau lubang benam), tanah runtuh dan mendapan tanah semakin banyak terjadi akhir-akhir ini sehingga mencetuskan persoalan adakah Kuala Lumpur selamat untuk diduduki dan didiami.
“Kejadian yang menimpa seorang pelancong warga India di sekitar masjid India pada hari Jumaat baru-baru ini telah menggemparkan seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, lebih memeranjatkan apabila Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang membuat kenyataan bahawa tahun lalu telahpun berlaku mendapan di lokasi yang sama.
“Walaupun ia telah diperbaiki, namun kelmarin insiden yang sama berlaku sehingga menimbulkan pertanyaan adakah proses pembaikan tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kejadian ini sebenarnya secara tidak langsung telah membuka mata masyarakat betapa bahayanya pembangunan pesat di ibu negara ketika ini jika tidak diberikan perhatian terhadap langkah-langkah keselamatan dan kawalan,” tambahnya.
Oleh itu, ujar beliau, dengan kejadian berterusan banjir kilat yang melanda bandar raya Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, tidak mustahil ia berpotensi besar untuk menyebabkan tanah jerlus, selain dari aktiviti manusia dan paip air yang pecah di dalam tanah.
“Jadikan peristiwa di Masjid India pada Jumaat lalu sebagai ‘wake up call’ untuk kita semua supaya bertindak segera sebelum kejadian yang lebih parah berlaku di hadapan mata kita,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pada hari keempat, Isnin (26 Ogos).
Selain petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pencarian, ia turut disertai pihak Indah Water Konsortium (IWK) yang berada di lokasi kejadian melaksanakan teknik ‘flushing’ bagi mengesan mangsa berusia 48 tahun itu.
Petugas IWK menggunakan jentera mereka untuk membuat ‘flushing’ di satu kawasan yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi utama mangsa terjatuh. – HARAKAHDAILY 26/8/2024