KUALA LUMPUR: “Tahniah kepada pasangan beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani atas kejayaan luar biasa memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2024.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz mengucapkan demikian susulan kemenangan yang diperoleh pasangan beregu negara itu menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae.
Katanya, ini adalah hadiah Kemerdekaan terbaik buat Malaysia, mencerminkan semangat perpaduan dan kesukanan negara.
“Mereka berjaya menewaskan juara dunia, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
“Kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Min Hyuk dan Seung Jae dalam kejohanan berstatus Super 750 itu secara tidak langsung memadam kekecewaan gandingan ke-12 dunia berkenaan selepas tewas pada final Kejohanan Badminton Asia April lalu.
“Ini adalah kali ketiga mereka mengatasi pasangan Korea tersebut, memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai antara beregu terbaik di dunia,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Nushi , lebih istimewa Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin merupakan beregu Melayu dan Cina pertama di dunia yang mencapai kejayaan sebegini di peringkat antarabangsa.
Hal ini telah mencerminkan keharmonian dan semangat Malaysia yang sebenar.
Katanya lagi, kemenangan di Jepun ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berjuang dan mencapai kejayaan di arena dunia.
“Sekali lagi, tahniah Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin! Anda berdua telah mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024