Suspek mengaku salah, tak sedar kesalahan ‘sangat serius’

Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura. (FOTO: CNA)
- Advertisement -

SINGAPURA: Seorang pemandu yang dituduh mengambil gambar dan video seorang pegawai imigresen di Pusat Pemeriksaan Woodlands berhasrat untuk mengaku bersalah, sambil berkata dia tidak menyedari bahawa kesalahan itu ‘sangat serius’.

Wong Jeo Wah, 37, kembali ke mahkamah pada hari ini, Isnin (26 Ogos), lebih seminggu selepas dia pertama kali didakwa di bawah Akta Perlindungan Infrastruktur negara itu.

- Advertisement -

Dia berdepan satu pertuduhan mengambil gambar dan video tanpa kebenaran di lorong berlepas Kaunter Pemeriksaan Woodlands pada kira-kira 12.30 tengah hari, 12 Ogos lalu, lapor CNA.

Gambar dan video pegawai itu, berserta namanya, telah dimuat naik ke laman Facebook ‘Complaint Singapore’, dan mendakwa pegawai itu sebagai kurang ajar, selepas dia diarahkan untuk mengalihkan pelindung matahari (sunshade) dari tingkap penumpang sebelah kanan semasa pemeriksaan.

Dia kemudiannya dirujuk ke pejabat pengurusan, dan diberi amaran keras selepas mengaku mengambil gambar dan video di premis berkenaan, sebelum bersetuju untuk memadamnya.

Walau bagaimanapun, gambar dan video itu telah dikongsikan oleh Wong, dan pihak berkuasa telah merujuk kes berkenaan ke pihak polis bagi tindakan lanjut.

Pihak pendakwaan dalam pada itu memohon penangguhan empat minggu untuk melengkapkan siasatan dan mendapatkan arahan timbalan pendakwa raya, dengan kemungkinan pertuduhan tambahan dikemukakan.

Sebahagian daripada penyiasatan yang akan dilakukan termasuk pemeriksaan digital forensik pada telefon miliknya.

Menurut rekod mahkamah, Wong, yang hadir tanpa peguam, memberitahu Hakim Daerah, Lorraine Ho, bahawa dia tidak menyedari bahawa kesalahan itu sangat serius sehingga dirinya ditahan reman.

Perbicaraan kes berkenaan akan kembali ke mahkamah pada 23 September depan, dan jika disabitkan kesalahan, dia akan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$20,000 (RM67,000), atau kedua-duanya sekali. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!