ALOR SETAR: Langkah proaktif Kerajaan Negeri Kedah atas pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memartabatkan institusi Mahkamah Syariah, merupakan tindakan terbaik khususnya kepada umat Islam.
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, tindakan itu secara tidak langsung memadam kegelisahan rakyat terhadap isu-isu melibatkan mahkamah tersebut.
“Mutakhir ini banyak isu-isu yang mencabar institusi Mahkamah Syariah. Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini bukan sahaja menggembirakan umat Islam tetapi juga memartabatkan institusi Mahkamah Syariah itu sendiri,” katanya pada kenyataannya di sini.
Ujar beliau lagi, usaha itu sejajar dengan kepercayaan yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir Kedah di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi mempertahan dan menegakkan kedaulatan Islam di negeri ini.
Semalam, Sidang DUN Kedah mendapat persetujuan sebulat suara bagi meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Mahkamah Syariah yang meliputi bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Juga melibatkan pelantikan hakim, bidang kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah serta pelantikan anggota Mahkamah Syariah dan kes-kes dalam perbicaraan.
Pindaan itu juga bertujuan untuk mengkaji semula struktur hierarki Mahkamah Syariah dengan menubuhkan lapisan keempat,
yang dikenali sebagai Mahkamah Perdana Syariah.
Iaitu melibatkan Mahkamah Utama, melengkapkan Mahkamah Syariah sedia ada, Mahkamah Tinggi Syariah serta Mahkamah Rayuan Syariah.
Dewan juga telah meluluskan dua rang undang-undang berasingan untuk meminda Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri.
Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Kedah (Pindaan 2024) yang dibentangkan Menteri Besar, selaras dengan titah Sultan Kedah supaya Mahkamah Syariah diberi kuasa dan diletakkan di bawah Perlembagaan Negeri.
Justeru kata Nasrun, pihaknya mengharapkan agar isu mempertahan dan memperkasa institusi Mahkamah Syariah sentiasa dibugarkan dalam masyarakat bagi melindungi kepentingan umat Islam khususnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!