KUALA LUMPUR: Taman Eko Rimba Sungai Tekala yang menjadi pusat rekreasi popular orang ramai ditutup buat sementara bermula hari ini.
Jabatan Perhutanan Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan arahan itu dikeluarkan Pengarahnya, Azhar Ahmad.
Menurut beliau, penutupan sementara kepada para pengunjung bermula hari ini sehingga Jumaat (30 Ogos).
“Penutupan sementara di Taman Eko Rimba Sungai Tekala ini adalah kerana dikesan positif Leptospirosis atau kencing tikus,” katanya.
Taman Eko Rimba Sungai Tekala di Hutan Simpan Sungai Lalang, terletak 13 kilometer (km) daripada bandar Semenyih.
Selain itu, pusat rekreasi popular yang menyedaiakan pemandangan semula jadi yang indah ini juga adalah tempat pendakian yang popular dalam kalangan pengunjung.
Sementara, Leptospirosis atau kencing tikus merupakan sejenis penyakit yang berlaku disebabkan jangkitan bakteria Leptospira.
Bakteria ini dijumpai di dalam tanah dan air yang dicemari oleh kencing haiwan. Ada banyak haiwan yang boleh menjadi punca penyakit leptospirosis, namun tikus adalah penyebab jangkitan yang paling tinggi risikonya.
Individu yang dijangkiti akan mengalami simptom seakan-akan demam. Penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan organ hati.
Jika ia menjadi semakin teruk, leptospirosis boleh bertukar menjadi penyakit Weil, satu kondisi yang boleh membawa maut. – HARAKAHDAILY 26/8/2024