ALOR SETAR: Kerajaan Pulau Pinang digesa membayar caj air mentah diambil dari Sungai Muda, desak Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.
Katanya, ketika ini negeri tersebut mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah namun sehingga kini masih belum membayar walau satu sen pun.
“Tuntutan caj air mentah ini dibuat sejak 2010 lagi tetapi sehingga kini, tiada sebarang bayaran yang dibuat oleh Pulau Pinang walaupun sumber air yang diambil dari Sungai Muda, Kedah sebanyak 84 peratus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai) pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Dr Hayati pada pertanyaan itu ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan negeri menuntut Pulau Pinang membayar air mentah yang diambil dari negeri ini.
“Usaha Kedah tuntut caj air mentah ini sudah berterusan lama. Syarikat Air Darul Aman (SADA) selaku operator air di Kedah pun bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebanyak tiga sen untuk satu meter padu.
“Kita harap Pulau Pinang dapat pertimbangkan tuntutan ini dan buat bayaran,” jelas Munir lagi.
Kata beliau, sekiranya SADA sebagai anak syarikat kerajaan negeri boleh membayar membayar kepada LSANK, mengapa Pulau Pinang tidak boleh bertindak sedemikian.
“Kedah terpaksa kekalkan hutan untuk dijadikan kawasan tadahan air dan kita tak boleh tebang balak. Harap Pulau Pinang fahamlah dan buatlah bayaran seperti SADA. Contohilah SADA,” tegas ADUN Kuala Nerang itu lagi.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun.
Ia berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah, namun negeri yang diteraju DAP itu enggan melayan tuntutan tersebut. – HARAKAHDAILY 26/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!