‘Foto ini sangat menarik dan luar biasa’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Foto ini sangat menarik dan luar biasa,” kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ini, ujarnya apabila seorang ketua negara yang belum lagi beragama Islam iaitu Presiden Rusia, Vladimir Putin bertindak mencium mushaf Al-Quran.

Menurutnya, peristiwa itu berlaku dalam lawatan terbaru Putin ke bandar Grozny, Chechen beberapa hari lepas.

- Advertisement -

“Ini bukan kali pertama, bahkan sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan memuji agama Islam dan mengecam masyarakat Barat khususnya di Eropah yang tersebar gejala Islamofobia begitu meluas,” ujarnya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, faktanya umat Islam di Rusia mewakili enam peratus penduduk Rusia iaitu seramai hampir 10 juta orang.

Tambahnya, Islam adalah agama kedua terbesar selepas Kristian Ortodok di mana terdapat 6,000 buah masjid di seluruh Rusia.

Katanya lagi, kebanyakan umat Islam menghuni di wilayah majoriti Muslim seperti Tatarstan, Daghestan, Chechen dan lain-lain.

“Islamofobia tidak berlaku di Rusia kerana masyarakat Islam di sana adalah penduduk asal, berbeza dengan Eropah dan Amerika Utara yang mana majoriti umat Islam di sana adalah imigran yang berhijrah dari negara umat Islam kerana faktor politik, ekonomi dan lain-lain lagi,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Jelasnya lagi, dalam masa yang sama Rusia memainkan peranan penting dalam isu umat Islam khususnya Palestin dengan menyokong kumpulan penentang zionis Israel seiring dengan negara Iran dan Syria.

“Kita doakan mudah-mudahan Allah memberi hidayah Islam kepada seluruh umat manusia yang berada di persimpangan kegagalan agama dan ideologi ciptaan manusia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -