Bencana lubang benam di Malaysia: Contohi Singapura 

Isu lubang benam (sinkhole) terutama di Kuala Lumpur dikaitkan dengan fakta sebanyak 80 peratus kawasan Lembah Klang dilitupi batu kapur berusia ratusan juta tahun, yang semakin merekah dan menghakis akibat pergerakan air, sebelum membentuk rongga di bawah permukaan batu kapur di sesuatu kawasan, menyebabkan bumbung yang menahan permukaan tanah itu runtuh. (GAMBAR HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah jerlus atau lubang benam di Jalan Masjid India, di sini  boleh dijadikan sebagai peringatan (wake up call) kepada kerajaan persekutuan dan negeri supaya menggunakan bajet yang selayaknya dalam memahami kerencaman geologi negara ini.

Pengarah syarikat Geoventure Solution Sdn. Bhd., Ahmad Zulqurnain Ghazalli berkata, kejadian tersebut telah menimbulkan pelbagai gusaran dalam kalangan rakyat.

“Saya melihat ada sesetengah pihak meminta supaya menukar lokasi ibu kota Malaysia lagi tetapi orang ramai perlu diingatkan supaya tidak bersifat gelabah dalam isu ini.

- Advertisement -

“Lagipun, belum lagi ada apa-apa pengesahan mengenai faktornya yang menyebabkan perkara tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan akaun media sosial Facebooknya

Ahmad Zulqurnain Ghazalli

Menurut beliau, terdapat kemungkinan bahawa gua (cavity) di bawah tanah tidak menyebabkan berlakunya kejadian tanah jerlus tersebut memandangkan terdapat lagi punca lain yang membolehkan kes seperti itu berlaku.

Tambahnya, sudah terlalu banyak kerja kejuruteraan Geoteknikal dilakukan di bawah permukaan (subsurface) kawasan Kuala Lumpur (KL) itu sendiri.

“Sebenarnya subsurface di KL tu dah terlalu banyak kerja kejuruteraan geoteknikal (satu daripada cabang kejuruteraan sivil) yang telah pun dijalankan.

“Barangkali dah berjuta-juta kubik meter simen telah dipam masuk ke bawah tanah mengisi gua-gua yang kita takutkan tu.

“Saya sendiri terlibat dalam projek MRT 1 dahulu pun boleh melihat dengan mata sendiri  betapa banyaknya simen dipam masuk dalam kawasan sebegitu.

“Dengan lain kata yang mudah difahami, keadaan bawah tanah KL tu telah ditambah baik kekuatannya dengan kaedah sepatutnya.

“Pembinaan bangunan pencakar langit itu sendiri pun telah dilakukan kajian dan kerja-kerja kejuruteraan yang teliti yang mana saya boleh menyatakan jangan pandang remeh kepada jurutera dan ahli geologi Malaysia yang terlibat dengan batu kapur.

“Golongan sebegini jauh lebih hebat dari profesional bermata biru (orang-orang putih) kerana cabaran geologi dan iklim tropika negara kita lebih mencabar daripada apa yang disangkakan,” jelasnya.

Nasib mangsa kejadian lubang benam di Masjid India pada Jumaat, 23 Ogos 2024, Vijayaletchumy belum lagi diketahui sehingga kini.

Pada Jumaat (23 Ogos) lalu, media melaporkan seorang wanita pelancong dari India berusia 48 tahun dikesan sebagai mangsa dalam kejadian tanah jerlus sedalam 8 meter di hadapan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

Wanita tersebut, Vijayaletchumy dan laporan kejadian tersebut diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sehubungan itu, Ahmad menyatakan agensi kerajaan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan lain-lain juga semakin memperketatkan tatacara pengendalian piawai (SOP) bagi membangunkan kawasan-kawasan seperti batu kapur, berbukit, tanah gambut, bekas lombong dan seumpamanya.

Kata beliau lagi, mana-mana pemaju yang ingin memajukan sesuatu tempat perlu menjalankan kajian geologi lebih teliti dan diikuti dengan cadangan reka bentuk kejuruteraan itu sendiri.

“Maka, untuk perancangan masa depan juga sedang  diusahakan oleh pihak kerajaan melalui JMG agar model bawah tanah Malaysia dapat divisualisasikan sekaligus kita lebih faham tentang keadaan bawah tanah di Malaysia terutama banda-bandar utama. 

“Singapura telah melakukan perkara tersebut sekitar 10 tahun lalu yang mana saya sendiri pernah belerja di sana dan  terlibat dengan kerja “3D modelling” sehingga 200 Meter di bawah negara tersebut.

“Pada pandangan saya, masih belum terlambat untuk Malaysia melakukan perkara tersebut supaya dapat mengurangkan risiko berlakunya insiden sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024