Bakal beri impak jitu sistem keadilan negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri memartabatkan institusi Mahkamah Syariah diyakini akan memberi impak yang jitu kepada sistem keadilan di negeri ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, ia juga memastikan sistem keadilan yang memayungi umat Islam di negeri ini dapat dijunjung setingginya.

“Saya mewakili PAS Kedah melahirkan rasa syukur dengan pindaan ini yang cara tidak langsung memperkukuhkan institusi Mahkamah Syariah selain menepati kehendak Tuanku Sultan Kedah supaya institusi ini diperkukuhkan,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini.

Kata Ahmad, titah ucapan Sultan Kedah pada Sidang DUN Mac lalu, baginda menyatakan hasratnya agar institusi keadilan umat Islam itu diperkukuh dan dipasakkan dengan suatu punca kuasa yang jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

Pindaan itu juga secara tidak langsung katanya, dapat mengkaji semula struktur hierarki Mahkamah Syariah dengan menubuhkan lapisan keempat.

Ia dikenali sebagai Mahkamah Perdana Syariah iaitu Mahkamah Utama dan melengkapkan Mahkamah Syariah sedia ada, Mahkamah Tinggi Syariah serta Mahkamah Rayuan Syariah.

“PAS Kedah juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah, pegawai-pegawai tadbir negeri termasuklah anggota DUN Kedah yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pindaan berkenaan,” ujarnya lagi.

Semalam pada Sidang DUN Kedah, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Kedah (Pindaan 2024).

Ia selaras dengan titah Sultan Kedah supaya Mahkamah Syariah diberi kuasa dan diletakkan di bawah Perlembagaan Negeri.

Sidang DUN Kedah juga mendapat persetujuan sebulat suara untuk meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Mahkamah Syariah yang meliputi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Juga pelantikan hakim, bidang kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah serta pelantikan anggota Mahkamah Syariah dan kes-kes dalam perbicaraan. – HARAKAHDAILY 26/8/2024