KOTA BHARU: Seramai 18 orang anak muda Kelantan telah tamat kursus kerjaya masing-masing setelah mengikuti program Pensijilan Profesional Pembangunan Kerjaya, semalam.
Majlis Penganugerahan Pensijilan Profesional Pembangunan Kerjaya itu telah berlangsung di ibu negara.
Timbalan Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) negeri, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, program berkenaan hasil kolaborasi U-BeS, Insan Inisiatif Sdn Bhd dan UTM SPACE.
Jelasnya, majlis penganugerahan itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang berjaya menamatkan latihan selama enam bulan dalam industri yang ditawarkan.
“Setiap graduan diberikan sijil tamat kursus dan latihan daripada UTM Space dengan setiap peserta diberikan persalinan baju jubah sama sepertimana majlis konvokesyen universiti.
“Tahniah kepada semua graduan persijilan semua dan kerajaan negeri berharap peserta dapat meningkatkan kemahiran di dalam industri masing-masing,” katanya lagi.
Tambahnya, jika peningkatan kemahiran itu dapat dibuat, setiap peserta akan menambah baik nilai kemahiran yang akan menentukan kebolehpasaran mereka dalam industri.
Sehubungan itu, beliau menyeru peserta supaya memperbaiki ilmu pengurusan terutama pengurusan masa dan kewangan.
Beliau berkata, sentiasa mencuba tuntuk meningkatkan tahap pendidikan diri dengan membuka ruang untuk mengambil diploma atau ijazah melalui proram jarak jauh dari mana-mana universiti yang diiktiraf.
“Setelah berjaya, jangan lupa sentiasa mengingati dan menabur bakti kepada ibu bapa dan membantu adik beradik di bawah terutama yang memerlukan pertolongan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!