KUANTAN: Seratus keluarga telah berjaya disantuni oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang di DUN Semambu di sini semalam.
“Alhamdulillah program berjalan dengan lancar, kita telah berjaya menyantuni seratus buah keluarga sekitar DUN Semambu bersama 16 orang YB PAS Pahang.
“Ianya memberi kesan langsung yang sangat baik untuk kita menawan DUN Semambu untuk PRU ke-16 nanti,” ujar ADN Beserah, Andansura Rabu.
Beliau mengulas program PAS Teraju Pahang (PTP) kali pertama diadakan di DUN Semambu sebaik sahaja program tersebut selesai diadakan.
“PTP telah menjelajah kali pertamanya di DUN Jenderak pada 26 Mei lalu dan diikuti DUN Semambu kali keenam dan berikutnya akan ke DUN Chini.
“Program ini akan diteruskan di semua DUN sehingga tarikh PRU ke-16 diumumkan,” tambah beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Selain menyantuni penduduk, program tersebut juga diisi dengan lawatan mahabbah ke rumah Persatuan Buddha dan Pusat Jagaan Orang Tua Tionghua di Bukit Ubi bersama ADN Pahang yang hadir.
Perlawanan bola sepak bersama penduduk di padang Cenderawasih turut diadakan, sementara muslimat pula acara boling di Mega Lanes Kuantan.
Sementara itu, Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS negeri telah mengadakan Podcast PTP bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Zulfadli Zakariah dan ADN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil mengenai isu-isu semasa.
Bagi pengisian kerohanian pula diadakan kuliah Maghrib di Surau Putih oleh ADN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan di Masjid Kampung Padang oleh ADN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud. – HARAKAHDAILY 26/8/2024