KUALA TERENGGANU: Cadangan kerajaan untuk menggabungkan tiga bank iaitu SME Bank, EXIM Bank dan Bank Pembangunan dibimbangi akan menjejaskan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia bukan sekadar pandangan beliau semata-mata, namun ia juga dikongsi oleh pihak pemain industri sebagai pemegang taruh.
“Cadangan ini bukan sahaja bakal memberi kesan buruk kepada PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, tetapi juga mengancam masa depan ribuan usahawan kecil dan sederhana yang bergantung kepada sokongan institusi kewangan ini.
“Rakyat telah menyuarakan kegelisahan mereka kepada saya, dan saya berpandangan bahawa kebimbangan ini sangat berasas,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, baru-baru ini Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (DPUKM), Norsyahrin Hamidon, menyatakan bahawa lebih 25,000 PMKS mungkin terjejas akibat penggabungan ini.
“Ini bukan satu angka yang boleh kita abaikan. Jika kerajaan meneruskan langkah ini tanpa kajian dan perbincangan yang teliti, kita bakal melihat kemusnahan sektor yang selama ini menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak perlu faham bahawa setiap bank yang dicadangkan untuk digabungkan ini memainkan peranan penting dalam menyokong kluster perniagaan berbeza.
Jelasnya, SME Bank sebagai contoh, memberikan fokus kepada pembiayaan PMKS, manakala EXIM Bank menyokong syarikat-syarikat yang terlibat dalam eksport.
“Jika penggabungan ini berlaku, kita khuatir bahawa mandat asal bank-bank ini akan hilang, dan fokus utama mungkin beralih kepada keuntungan semata-mata, mengabaikan keperluan sebenar usahawan kecil dan sederhana,” katanya.
Antara risiko mungkin berlaku menurut beliau, ialah pertama, dengan penggabungan ini, akses kepada pembiayaan di mana selama ini memacu pertumbuhan sektor PMKS mungkin menjadi semakin terhad.
Sedangkan sektor itu sebagai nadi ekonomi negara yang menyumbang lebih RM600 bilion kepada KDNK, sekali gus dengan had tersebut boleh menjejaskan sumbangannya kepada ekonomi.
Kedua menurut Amzad, penggabungan tiga bank ini akan mewujudkan satu entiti kewangan besar yang berpotensi memonopoli pasaran pembiayaan.
Jelasnya, itu akan menghapuskan persaingan sihat dalam sektor kewangan yang mana persaingan ini sebenarnya memberi manfaat kepada usahawan kecil dengan pelbagai pilihan pembiayaan.
“Yang ketiga, dengan penggabungan ini, bank baharu yang terbentuk mungkin akan lebih memberi tumpuan kepada projek-projek besar yang lebih menguntungkan.
“Ini akan menyebabkan PMKS, terutamanya dalam sektor-sektor kecil seperti percetakan, peruncitan, dan perkhidmatan, akan dipinggirkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak kerajaan bahawa ia bukan soal meningkatkan kecekapan semata-mata, tetapi soal mempertahankan asas ekonomi negara.
Kata Amzad, PMKS bukan sahaja memberi sumbangan ekonomi, tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat di mana jika keputusan itu dibuat dengan tidak berhati-hati, penggabungan ini boleh menjadi punca krisis ekonomi lebih besar.
Beliau menggesa kerajaan agar bersikap telus dan mendengar pandangan pelbagai pihak dengan mengadakan rundingan terbuka dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan diambil.
“Jangan sampai keputusan yang tergesa-gesa ini menghancurkan masa depan PMKS dan ekonomi negara.
“Saya yakin, jika kita bergerak dengan bijak dan berhati-hati, kita boleh mencapai keseimbangan antara kecekapan dan sokongan berterusan kepada PMKS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2024