MAIK jangka kutipan wakaf meningkat 20 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kutipan wakaf dijangka meningkat 20 peratus tahun ini melalui kod Respons Pantas (QR) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Bank Muamalat Malaysia.

Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Zaharuddin Alias berkata, penggunaan sistem itu akan diperluaskan ke lokasi baharu termasuk masjid dan surau bagi menggalakkan masyarakat berwakaf.

Katanya, sumbangan yang diterima melalui Wakaf MAIK Muamalat, akan diagihkan kepada projek wakaf pelbagai sektor, termasuk penajaan asnaf terpilih.

- Advertisement -

Melalui kaedah ini katanya, secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendidikan, kesihatan serta memperkasakan ekonomi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran logo baharu dan kod QR Wakaf MAIK Muamalat sempena Bulan Wakaf MAIK, di sebuah hotel, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli dan Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Mohammad Zalman Jalil.

“Bank Muamalat menyediakan perkhidmatan wakaf digital sejak 2018 di lima negeri termasuk Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pahang.

“Di Kelantan, kita dapat mengumpul nilai kutipan lebih RM2.3 juta dan sehingga kini banyak memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan di negeri itu,” katanya.

Zaharuddin memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan majlis agama Islam di semua negeri terlibat untuk kemajuan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -