Gencatan senjata: Hamas tolak syarat baharu Netanyahu

Israel bertegas mahu menguasai pusat pemeriksaan Rafah di Gaza yang bersempadankan Mesir.
- Advertisement -

PERGERAKAN Hamas mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ‘menghalang perjanjian’ gencatan senjata dan pertukaran tebusan di Gaza. Kenyataan itu dikeluarkan selepas rundingan dalam pusingan baharu di Qatar dilakukan setelah pembunuhan pemimpin mereka, Ismail Haniyeh pada 30 Julai lalu.

- Advertisement -

Menurut Hamas, Perdana Menteri Israel itu bertanggungjawab sepenuhnya menggagalkan usaha negara-negara perantara iaitu Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan perang dan pertukaran tawanan. Dalam pada itu, Hamas mengulangi komitmen mereka terhadap cadangan yang disokong Presiden AS, Joe Biden dan resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 2 Julai lalu.

Hamas juga berharap negara-negara perantara dapat memenuhi tanggungjawab serta mendesak Israel untuk melaksanakan syarat-syarat yang telah dipersetujui lebih awal. Rundingan gencatan senjata di Doha pada minggu lalu bertujuan “untuk merapatkan jurang” di antara Israel dan Hamas selari dengan prinsip yang telah ditetapkan oleh Joe Biden pada 31 Mei lalu. Antaranya menurut Presiden AS itu, bahawa Israel telah membentangkan perjanjian tiga fasa termasuk gencatan senjata, pertukaran tawanan dan pembinaan semula Gaza.

Namun, setelah berbulan-bulan Mesir, Qatar dan AS mengetuai rundingan antara Israel dan Hamas, tiada persetujuan dapat dicapai kerana Tel Aviv enggan memenuhi tuntutan kumpulan pejuang Palestin untuk menamatkan perang, mengundurkan tentera dari Gaza dan membenarkan rakyat Palestin untuk kembali ke utara wilayah itu. Sebaliknya, Israel terus melancarkan serangan walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata dicapai segera.

Lebih buruk, dalam rundingan terbaharu selama dua hari di Doha, AS memaklumkan bantahan Netanyahu terhadap gencatan senjata kekal dan penarikan diri secara menyeluruh dari Semenanjung Gaza serta penegasannya untuk kekal menduduki persimpangan Netzarim, pusat pemeriksaan Rafah dan koridor Philadelphi’. Dua lokasi itu penting bagi mencegah penyeludupan senjata ke Semenanjung Gaza, manakala persimpangan Netzarim terletak di titik strategik antara utara dan selatan Gaza.

Sementara itu, pihak Hamas mengulangi sokongan terhadap cadangan dikemukakan Joe Biden pada Mei lalu yang disifatkannya sebagai pelan dikemukakan oleh Israel sendiri.

Pelan asal itu membabitkan perjanjian tiga fasa, bermula dengan gencatan senjata selama enam minggu, diikuti proses pembebasan tebusan dan penarikan diri Israel dari Gaza. Sebelum ini, wakil perhubungan luar Hamas, Usamah Hamdan menyifatkan Netanyahu dan pentadbirannya tidak bersedia untuk mencapai sebarang perjanjian gencatan senjata.

Menurutnya, Israel telah menolak kertas rundingan damai Israel-Hamas yang diperkenalkan oleh Joe Biden pada 24 Jun berdasarkan inisiatif AS dan ketetapan Resolusi Majlis Keselamatan PBB. Hamdan juga menyatakan bahawa Israel mengisytiharkan dalam rundingan di Doha minggu lalu, Israel mahu hak untuk kembali berperang (jika gencatan senjata dimeterai). Menurutnya, itu satu syarat yang tidak boleh diterima oleh rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!