20 unit tukun konkrit akan dilabuh di perairan Bari

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata, persiapan sudah dibuat ke lokasi untuk program melabuh tukun di perairan Bari, Setiu, esok. (Foto atas)

“Insya-Allah saya dan team akan labuhkan 20 unit tukun konkrit penghalang pukat tunda dengan berat setiap unit sekitar 17 tan,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya, malam ini.

Katanya, lokasi labuh tukun akan mengambil kira pandangan nelayan tempatan, Jabatan Perikanan dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

- Advertisement -

Menurutnya, selain daripada lokasi lubuk ikan, kedalaman air juga penting diambil kira supaya ada surface clearance yang mencukupi untuk laluan kapal agar tidak terlanggar objek di bawah air.

Beliau berkata, biasanya tukun dilabuhkan pada kedalaman 16 hingga 20 meter.

Tambahnya, jenis tanah dasar laut juga akan menentukan bentuk tukun.

Bagi dasar lembut, ujarnya ada bentuk tukun khusus supaya ia tidak terbenam di dasar apabila dilabuhkan.

“Berbeza dengan tukun cheese block yang memerlukan khidmat penyelam untuk release cable crane, bagi tukun kuboid kita gunakan system auto release,” ujarnya.

Katanya, selepas tukun selesai dilabuhkan barulah penyelam akan melaksanakan tugas pemeriksaan bagi memastikan ianya selamat berlabuh tanpa apa-apa kecacatan. – HARAKAHDAILY 25/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!