Festival usahawan suntik semangat peniaga cari rezeki

- Advertisement -

TUMPAT: Memandangkan bidang perniagaan menjadi antara faktor penyumbang ekonomi di negeri Kelantan, Pusat Khidmat DUN Wakaf Bharu, telah menganjurkan program Festival Usahawan Rakyat 3.0.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai motivasi kepada peniaga DUN tersebut agar lebih bersemangat untuk mencari rezeki.

Menurutnya, terdapat tiga kategori usahawan dalam DUN terbabit, iaitu usahawan tani, usahawan wanita dan usahawan anak muda.

- Advertisement -

Katanya, ketiga-tiga kumpulan itu aktif dalam bidang perniagaan masing-masing sama ada dalam bidang pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan anak muda yang cenderung kepada bengkel.

“Sebanyak 14 gerai disediakan bagi menempatkan hasil jualan pengusaha DUN Wakaf Bharu yang dihasilkan oleh mereka sendiri seperti jahitan, kek, produk pertanian dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri termasuk DUN Wakaf Bharu begitu sensitif terhadap mereka yang ingin mencari rezeki dalam bidang itu.

Justeru itu tambahnya, seramai 30 orang akan menerima sumbangan modal yang terdiri daripada peniaga kecil atau yang ingin memulakan perniagaan.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 setahun bagi setiap DUN seluruh Kelantan sebagai suntikan modal.

“Peruntukan diberikan bergantung atas keperluan pemohon itu sendiri antara RM1,500 hingga lebih RM4,000 sama ada berbentuk peralatan atau modal perniagaan,” katanya.

Pelbagai program menarik diatur sepanjang festival berlangsung selama tiga hari yang bermula pada Khamis lepas dan berakhir malam ini, antaranya, Forum Perdana Ehwal Islam, hiburan alternatif, dikir barat, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna kanak-kanak selain gerai jualan oleh usahawan DUN Wakaf Bharu. – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -