KUALA LUMPUR: Beberapa kampung sekitar bandar Temerloh dilanda banjir kilat, malam tadi.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN), Kuala Semantan, Hassanuddin Salim, kejadian itu berlaku susulan hujan sangat lebat menjelang Maghrib, semalam.
“Sedang kami berusrah di sebuah rumah sahabat di Kampung Paya Keladan, kami menerima beberapa mesej memaklumkan beberapa kawasan di Temerloh mengalami banjir kilat akibat hujan yang sangat lebat yang turun sejak menjelang Maghrib tadi,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, awal hari ini.
Menurutnya, maklumat diterima menunjukkan beberpa kawasan terjejas akibat banjir kilat di Kampung Paya Luas, Damai Court di kawasan pasar raya TF, Jalan Bahagia, Paya Pulai (berhampiran Taman 1 Malaysia), persimpangan lampu isyarat HOSHAS dan di Batu 5 Simpang Charuk Puting yang berlaku timbunan lumpur.
Tambahnya, ada juga laporan berkaitan rumah yang dihempap pokok akibat hujan lebat dan angin.
“Kami keluar lebih awal dari usrah untuk meninjau beberapa lokasi yang dikatakan terkesan akibat banjir kilat tersebut antaranya di Lorong TV Kampung Paya Luas dan Taman Jaya 3.

“Alhamdulillah kami dapat bersama pasukan Jabatan Amal Temerloh bersama-sama membantu membersihkan beberapa buah rumah di Taman Jaya 3 sehingga jam 2.00 pagi,” ujarnya dalam catatan pada jam 3 pagi.
Beliau berhara semoga mereka yang terkesan akibat banjir kilat dan hujan lebat serta angin kuat malam tadi sabar dan tabah menghadapi ujian yang menimpa.
“Kami juga mendengar keluhan dan aduan dari mangsa-mangsa banjir kilat berkaitan isu perparitan akibat dari pembangunan pesat terutamanya kawasan perumahan yang semakin membesar dan pembangunan fizikal yang lain,” katanya lagi.
Menurut beliau, pembangunan kawasan perumahan mungkin menjadi sebab kepada berlakunya banjir kilat yang semakin kerap kebelakangan ini.
“Insya-Allah, saya akan cuba mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan isu ini dan berusaha membawa perkara ini kepada pihak-pihak berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/8/2024
