Petugas wakil rakyat ‘standby’ bantu mangsa banjir

- Advertisement -

PORT DICKSON: Petugas-petugas Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang diletakkan dalam ‘mode’ berjaga-jaga kerana bimbang kejadian bah akan berlaku lagi.

- Advertisement -

ADUN Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria berkata, ia berdasarkan beberapa amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi melibatkan beberapa kawasan berhampiran.

“Kita harap semua penduduk di sini juga berada dalam situasi berjaga-jaga dan buat persediaan bagi kemungkinan ini. Sentiasa peka dengan pengumuman kerajaan.

“Jika kita buat persediaan kita akan dapat kurangkan risiko kerugian atau risiko kehilangan nyawa sekiranya ia benar-benar terjadi,” ujarnya.

Tambah beliau, banjir berisiko untuk terjadi sekiranya situasi air laut pasang dan hujan lebat berlaku di darat serentak dalam masa yang masa.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson berkata demikian kepada Harakahdaily semalam usai proses membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir di Kampung Teluk Kemang.

Jelasnya, proses pembersihan itu melibatkan lebih 15 petugas yang terdiri dari petugas Pusat Khidmatnya dengan dibantu oleh Khidmat Malaysia Negeri Sembilan dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) dari Seremban dan Rembau.

“Proses ini sebenarnya bermula semalam. Tetapi semalam bekalan air masih terputus, jadi kita ambil masa tu untuk membantu menimba dan membuang air yang bertakung di rumah-rumah terlibat.

“Semalam juga kita jalankan proses membuang sampah-sampah mana-mana peralatan atau perabot yang rosak akibat banjir, kita bantu buang sampah-sampah tu,” katanya.

Tambahnya, kerja pembersihan menggunakan ‘waterjet’ untuk membersihkan lantai yang berlumpur, karpet dan lain-lain peralatan dimulakan pagi ini setelah bekalan air pulih semula.

“Hari ini kita membersihkan dua buah rumah di Kampung Teluk Kemang yang terjejas teruk. Kita dah bantu keluarkan air yang bertakung semalam dan hari ini kita bersihkan.

“Ada empat keluarga lagi telah pun membersihkan sendiri rumah mereka, yang itu kita bagi bantuan pakaian dan beg sekolah yang mereka perlukan,” katanya.

Beberapa kawasan di Port Dickson dilanda banjir kilat pagi kelmarin akibat hujan lebat antaranya melibatkan Kampung Bagan Pinang dan Kampung Teluk Kemang dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang tidak berada dalam keadaan memuaskan.

Untuk rekod, kawasan itu turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada 11 Ogos lepas waktu yang sama dengan kejadian banjir di kawasan Parlimen Masjid Tanah di Melaka. – HARAKAHDAILY 22/8/2024