MoU kedua antara PPPYIK dengan Universiti Ez-Zitouna

- Advertisement -

BACHOK: Memorandum Persefahaman (MoU) kedua yang diadakan tahun ini antara Universiti Ez-Zitouna dengan Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (PPPYIK) telah menawarkan 15 tempat pengajian di universiti berkenaan.

Bermula September ini, seramai lapan orang pelajar lepasan Peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) akan menyambung pengajian mereka ke Universiti Ez-Zitouna, Tunisia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, MoU antara PPPYIK dengan sebuah universiti tertua di dunia itu bermula pada tahun 2019.

- Advertisement -

Menurutnya, ketika itu universiti berkenaan menawarkan 10 tempat pengajian untuk pelajar lepasan STUP.

Menurutnya, dua orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian di sana dan kini telah berkhidmat sebagai guru YIK.

“Kini tinggal seorang lagi masih belajar di tahun akhir. Namun penghantaran pelajar ke Tunisia terhenti ketika wabak Covid-19 melanda dunia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival 40 Tahun Pusat Pengajian Pondok YIK dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Roslan menambah, pengajian pondok mempunyai peluang yang besar untuk berkembang dan memberi impak positif dalam masyarakat.

Katanya, dengan memanfaatkan teknologi moden, memperbaharui kurikulum dan mengintegrasikan aspek-aspek pendidikan moden, mereka lebih diperlukan oleh masyarakat untuk mendapatkan ilmu akhirat.

Namun, katanya, pada masa yang sama, PPPYIK juga memerlukan perhatian terhadap keperluan asas seperti peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, sumber kewangan yang mencukupi. – HARAKAHDAILY 22/8/2024