TUMPAT: Kaum wanita Kelantan disaran sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala khususnya untuk mengesan penyakit kanser.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, penyakit kanser amat bahaya serta dianggap sebagai musuh nombor satu wanita.
Justeru itu, tambahnya amat penting setiap wanita menjalani pemeriksaan berkaitan penyakit tersebut di klinik atau hospital kerajaan agar ia dapat dikesan lebih awal.
“Alhamdulillah, hari ini saya diberi ruang bersama dalam Majlis Perasmian Karnival Advokasi Mamogram dan Kesihatan Wanita Daerah Tumpat.
“Karnival ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemeriksaan mamogram dan penjagaan kesihatan wanita, terutamanya di kalangan masyarakat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Advokasi Mamogram dan Kesihatan Wanita Daerah Tumpat yang diadakan di Dewan Utama Senangin Resort, dekat sini hari ini.
Majlis berkenaan anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat dengan kerjasama Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.
Rohani berkata, dengan adanya program seperti itu diharap lebih ramai wanita di Kelantan tampil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Katanya, kesihatan adalah aset paling berharga dan tidak boleh ditukar dengan apa jua nilai wang ringgit.
“Apa yang pasti, pencegahan dan pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Insya-Allah.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan semua peserta yang hadir sekali gus menjayakan karnival ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/8/2024