KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mempertahankan kenyataan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan menegaskan bahawa golongan alim ulama bercakap atas garis ilmu dan bukan untuk kepentingan tertentu.
Ketua DUPP, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, tidak wajar sesekali mana-mana pihak meletakkan konteks yang tidak sesuai terhadap kenyataan yang dibuat oleh para ilmuwan yang mengajarkan ilmu apatah lagi jika kenyataan tersebut dibuat atas landasan ilmu yang benar.
“Teguran terhadap para pemerintah yang dinyatakan oleh beliau dilakukan secara umum tanpa menyentuh mana-mana peribadi pihak tertentu.
“Malangnya, sesetengah pihak dengan sembrono menganggap ia suatu tuduhan dan kecaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Islam merupakan agama yang syumul merangkumi keseluruhan kehidupan manusia dan ia tidak sekadar menyentuh soal sosial individu dan bermasyarakat bahkan juga pemerintah serta negara.
Oleh itu kata beliau, tidak sepatutnya kita mengenepikan pandangan agama apabila seseorang menyentuh konteks politik pentadbiran dan pemerintah.
“Tiada siapa pun dalam kalangan pemerintah mahupun penguasa di atas muka bumi ini akan terkecuali daripada teguran dan peringatan daripada Allah SWT sepertimana yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis.
“DUPP akan terus bersama para alim ulama dan ilmuwan Islam dalam membimbing masyarakat kepada Islam yang sebenar.
“Usah gentar dengan celaan mereka yang mencela serta hinaan mereka yang menghina. Inilah jua sebahagian daripada asam garam perjuangan dakwah para Nabi dan Rasul,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
DUPP tambahnya, turut ingin mengingatkan semua para pemimpin mengenai sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, ‘Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas’.
“Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya.
“Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat.
“Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya‘.”