KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan dokumen permohonan percantuman oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) penuh dengan muslihat yang menunjukkan badan tersebut dan Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak telus.
Beliau malah tegas menyatakan bantahan terhadap dokumen Rundingan Awam berkaitan ‘Perikatan Pembangunan Gerbang’ (GDA) dan ‘Cadangan Penswastaan MAHB’ tersebut dan menggesa kedua-dua transaksi usahasama itu ditangguhkan dan dihentikan.
Tegasnya, tiada ‘rasional strategik’ yang meyakinkan, terutamanya dalam aspek keselamatan negara dan kawalan ruang udara negara, termasuk perkongsian data dan analisa sektor penerbangan seperti trafik dan radar di mana ia amat sensitif dan strategik.
Juga katanya, tiada ‘merit komersil’ untuk penswastaan MAHB, sebuah syarikat tempatan yang kukuh dan berdaya saing, tidak mengalami kerugian, tiada masalah kecairan, dan tidak berdepan kesukaran mendapatkan sumber modal atau ekuiti tempatan.
“Tiada ‘asas moral’ untuk Kerajaan Malaysia membenarkan transaksi percantuman GDA dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan ‘penjenayah perang’ BlackRock Inc., bakal pemilik sepenuhnya GIP (Global Infrastructure Partners).
“Yang (syarikat itu) terlibat secara langsung dalam pembiayaan dan persenjataan kepada regim Zionis Israel terhadap perlakuan jenayah perang, genosid dan aparteid ke atas warga Palestin,” hujahnya berdasarkan penelitian ke atas dokumen tersebut.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu turut menuntut penjelasan dan ketelusan di pihak MAVCOM dan MOT terhadap butiran dokumen Rundingan Awam tersebut yang terkandung di bawah seksyen ‘Ringkasan Permohonan’ atau ‘Summary of Application’.
“Mengapa entiti BlackRock tidak dinamakan dan tidak dinyatakan (not spelled-out) sebagai pemilik sebenar GIP, dan terselindung di sebalik ungkapan ‘Anticipated Merger’ (Jangkaan Penggabungan), walaupun perkaitan ini telah dinyatakan secara terbuka oleh pihak BlackRock dan GIP?
“Adapun perkaitan dan pemilikan PPSB dan KASB (Pantai Panorama Sdn Bhd dan Kwasa Aktif Sdn Bhd) dinyatakan secara jelas, iaitu Khazanah dan KWSP. (Sepatutnya) MAVCOM perlu konsisten dalam perkara ini.
“Saya menyarankan agar dokumen Rundingan Awam ini ditarik balik, dan dipinda dengan memasukkan suatu pernyataan terbuka bagi tatapan awam (public disclosure and declaration) iaitu;
“GIP Aurea, subject to the completion of the Anticipated Merger, [is expected to be owned by funds managed by Global Infrastructure Management, LLC, which in turn is expected to be wholly-owned by BlackRock, Inc.]”,” ujar Syahir.
(Terjemahan) “GIP Aurea, tertakluk kepada penyempurnaan Penggabungan Jangkaan, [dijangka dimiliki oleh dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Management, LLC, yang seterusnya dijangka dimiliki sepenuhnya oleh BlackRock, Inc.]”
Beliau turut menyuarakan sekiranya alasan ketertinggalan (omission) entiti bernama ‘BlackRock’ dalam proses Rundingan Awam ini adalah kerana ‘Jangkaan Penggabungan’ tersebut belum dimuktamadkan.
“Maaka amat wajarlah permohonan percantuman (merger) di antara ‘GDA, PPSB, KASB dan GIP Auera’ serta cadangan penswastaan (privatisation) ‘MAHB’ ini ditangguhkan.
“Seterusnya dihentikan dan ‘dinoktahkan’ oleh pihak MAVCOM dan Kerajaan Malaysia, secara rasional dan terhormat,” tegas beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 22/8/2024