JEMPOL: Usaha pihak tertentu giat berusaha untuk merasionalkan perjuangan komunis dan cuba meletakkan pengganas itu sebaris dengan pejuang kemerdekaan negara ini adalah sesuatu yang sangat merbahaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, gerakan tersebut bekerja keras bagi menukar pemikiran rakyat agar dapat menerima fahaman jahat tersebut.
Jelas beliau, fahaman tersebut mengancam pemikiran anak-anak muda terutama ‘Generasi Y’ dan ‘Millenia’ yang sesetengah mereka mudah menerima bulat-bulat propaganda itu.
“Hari ini orang boleh mengiktiraf komunis sebagai satu perjuangan membebaskan tanah air ataupun kemerdekaan. Padahal komunislah orang jahat ketika dulu.
“Ramai dalam kalangan moyang kita, datuk kita, nenek kita yang berjuang satu ketika dahulu, sama ada mereka ni jadi askar atau polis dan mati ditembak oleh komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam program ‘Santai Merdeka Anak Muda’ yang berlangsung di FELDA Raja Alias, Serting, di sini, malam tadi.
Tambah beliau, jarum propaganda itu dimasukkan sedikit demi sedikit di dalam pemikiran anak-anak muda untuk mengubah hakikat kejahatan perjuangan komunis di negara ini kepada sesuatu yang positif.
“Hari ini fenomena tersebut sedikit demi sedikit dimasukkan dalam minda anak-anak kita, minda adik-adik kita, yang mana mereka ni tak tahu pun komunis tu jahat. (Sesetengah mereka) berasa seolah-olah itu komunis baik,” ujarnya.
Tambah beliau, setelah komunis meletak senjata dan mengakhiri perjuangan bersenjata mereka di akhir 80-an, mereka malah mendapat bantuan daripada kerajaan bagi membolehkan mereka memulakan hidup baru di Malaysia dan ditempatkan di kampung-kampung baru.
“Kita bukan nak sentuh perkara sensitif, tetapi kita nak memberitahu kepada masyarakat kita, anak-anak muda kita di hadapan saya ni bahawa kita kena bangun dan juga bangkit.
“Kerana kemenangan yang Allah berikan iaitu nikmat kemerdekaan ni bukannya mudah untuk kita dapat,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol.
Program berbentuk himpunan santai bersama anak muda itu diadakan bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja di situ dan menghargai orang-orang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Dalam program itu, Ustaz Fairuz turut melakukan penyerahan bendera kepada anak muda sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Turut berucap di dalam program yang bermula selepas solat Isyak itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jempol, Fakharudin Abu Talib.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian BERSATU Jempol, Affendy Salleh dan Ketua Cawangan PAS FELDA Raja Alias 3, Akmal Shukor. – HARAKAHDAILY 22/8/2024