ADUN Kuala Semantan serah sumbangan motosikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Semantan menyerahkan motosikal kepada Muhammad Arif Hakim hasil daripada sumbangan orang ramai, petang semalam.

- Advertisement -

Ini berikutan ziarah ADUN Kuala Semantan, Hassanuddin Salim ke rumah keluarga itu pada Julai lalu.

“Alhamdulillah dengan serahan ini semoga adik Arif dan empat orang lagi adik-adiknya dapat berulang alik ke sekolah dengan lebih baik dan selesa.

“Semoga Allah SWT memelihara keluarga ini dan mempermudahkan urusan kehidupan seharian mereka,” ujar Hassanuddin dalam catatan di laman sosialnya.

Sehubungan itu, beliau dan pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN mengucapkan berbanyak syukur dan terima kasih kepada semua dermawan yang telah menghulurkan sumbangan bagi membolehkan mereka membantu keluarga itu.

“Insya-Allah kami akan terus berusaha semampu mungkin untuk membantu golongan memerlukan dari semasa ke semasa. Teruskan sumbangan anda,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Dalam hantaran di Facebook pada 22 Julai lalu, beliau memberitahu telah menziarahi keluarga asnaf itu yang terdiri seorang ibu yang menghadapi penyakit saraf dan tidak mampu mengurus diri sendiri di samping membesarkan lima orang anak yang kesemuanya sedang bersekolah.

Katanya, anak sulung lelaki berada di Tingkatan 6 yang pergi ke sekolah dengan membonceng motorsikal seorang kawan setiap hari, anak kedua juga lelaki berada di Tingkatan 4 bersekolah di sebuah sekolah menengah yang lain dengan menunggang motosikal tua yang sudah agak uzur.

“Bukan itu sahaja, dia juga akan menghantar adik-adiknya seramai tiga orang ke sekolah rendah, sebelum dia sendiri pergi ke sekolahnya,” ujarnya.

Tambah Hassanuddin, acap kali juga apabila motosikal rosak mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Menurutnya lagi, bagi adik perempuan yang berada di Darjah 6 dan 4 pula setiap hari terpaksa membantu ibu mereka untuk menguruskan diri termasuk memandi dan membersihkan diri setiap hari.

“Sebelum ke sekolah setiap hari mereka akan menguruskan ibu mereka dulu termasuk menukarkan lampin pakai buang bagi memastikan ibu mereka selesa sepanjang ditinggalkan.

“Sedang si ibu hanya berbaring tanpa boleh bergerak hinggalah anak-anak kembali dari sekolah, termasuklah untuk makan dan minum yang terpaksa disuap oleh anak-anak,” ujarnya.

Katanya, makan dan minum keluarga itu pada hari-hari bersekolah dan pada kebanyakan masa dimasak oleh adik kepada si ibu yang keluarga mereka adalah berjiran.

“Sesungguhnya ujian yang dihadapi oleh mereka adalah sebenarnya ujian kepada kita yang diberi kelebihan rezeki oleh Allah SWT untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya jika ada NGO atau orang perseorangan yang sedia membantu terutamanya membelikan sebuah motosikal baru untuk kegunaan anak-anak itu pergi dan balik sekolah dengan lebih baik dan selesa adalah sangat dialu-alukan.

Ibu yang dikategori OKU saraf itu mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan zakat Majlis Ugama Islam Pahang. – HARAKAHDAILY 22/8/2024