
SALTO DEL GUAIRA: Pihak berkuasa Argentina telah mengkuarantin sebuah kapal kargo di Sungai Parana kerana disyaki terdapat wabak penyakit Mpox di atas kapal, sambil pihak berkuasa kesihatan awam global kekal berjaga-jaga untuk varian baharu virus yang lebih cepat merebak itu.
Kapal berhampiran pelabuhan Argentina di Rosario itu memaklumkan pihak berkuasa bahawa salah seorang anak kapalnya yang merupakan warga negara India menunjukkan lesi (lepuh) kulit seperti sista kebanyakannya di bahagian dada dan mukanya, lapor The Guardian.
Individu itu bagaimanapun diasingkan daripada kru yang lain dan protokol kecemasan kesihatan awam telah diaktifkan, sebelum kapal itu terpaksa berlabuh di sungai.
Hanya kakitangan perubatan yang boleh menaiki kapal, manakala seluruh anak kapal dikehendaki untuk melakukan kuarantin sementara menunggu keputusan ujian yang dilakukan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun kerana varian baharu virus itu merebak dengan pantas di Afrika.
Menurut data WHO yang dikeluarkan, setakat kira-kira 13 buah negara telah melaporkan kes Mpox yang disebabkan oleh varian ‘clade 1b’ di seluruh benua Amerika tahun ini.
Mpox merujuk kepada jangkitan virus yang menyebabkan luka penuh nanah dan gejala seperti selesema, biasanya ringan tetapi boleh menyebabkan maut.
Varian ‘clad 1b’ telah menimbulkan kebimbangan kerana ia kelihatan lebih mudah merebak berbanding varian lain. -Agensi/– HARAKAHDAILY 21/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!