Serangan seksual kanak-kanak cetus protes orang ramai

Protes di stesen keretapi Badlapur itu menyebabkan perkhidmatan keretapi terhenti. (FOTO: The Indian Express)
- Advertisement -

BADLAPUR: Satu siri protes tercetus pada Selasa di sebuah stesen keretapi berhubung dakwaan serangan seksual terhadap dua kanak-kanak sekolah berusia empat tahun oleh seorang kakitangan pembersihan.

Kedua-dua kanak-kanak malang itu dilaporkan telah diserang secara seksual oleh seorang kakitangan pembersihan pada 12 dan 13 Ogos di dalam tandas sekolah, dan terdapat kelewatan dalam tindakan oleh pihak polis sebelum mereka memfailkan Laporan Maklumat Pertama ( FIR) pada 16 Ogos dan menahan tertuduh, lapor The Indian Express.

- Advertisement -

Pegawai Perhubungan Awam Central Railway, Dr Swapnil Nila berkata, protes ‘rail-roko’ di stesen kereta api Badlapur pada 10.10 pagi itu telah menjejaskan perkhidmatan kereta api tempatan Mumbai, tanpa tanda-tanda penyambungan semula segera.

Operasi kereta api di kedua-dua arah telah dihentikan sepenuhnya dan sepuluh kereta api ekspres telah dilencongkan melalui laluan Karjat-Panvel-Thane ke arah Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus (CSMT).

Penunjuk perasaan turut turun ke jalanan di bandar itu dan menghalang jalan-jalan utama dan lebuh raya. Keadaan bertambah teruk apabila beberapa penunjuk perasaan mula membaling batu ke arah polis dan kawasan sekolah di mana serangan seksual itu berlaku.

Kedai-kedai di kawasan itu kekal ditutup dan sekolah di mana serangan seksual itu berlaku juga terpaksa ditutup.

Pentadbiran sekolah turut menggantung sementara tugas pengetua, guru kelas dan seorang pembantu wanita yang diminta bertanggungjawab atas kejadian yang menimpa itu.

Dalam pada itu, ibu bapa di sekolah berkenaan telah menuntut langkah keselamatan yang lebih ketat dan pengawasan yang lebih baik untuk mengelakkan kejadian seperti itu pada masa hadapan, dan penduduk telah menuntut tindakan yang lebih tegas terhadap tertuduh. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 21/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!