Sayyidina Abu Bakar perangi golongan murtad

- Advertisement -

SEWAKTU Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah, beliau sibuk dengan peperangan dalaman. Muncul kumpulan yang tidak diiktiraf iaitu Gerakan Riddah. Antara yang masyhur ialah Musailamah al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi dan tidak mahu membayar zakat.

Beliau menghantar utusan untuk meminta mereka supaya membayarnya. Bayar sebagai tanda tunduk kepada kerajaan di Madinah. Mereka enggan membayar zakat sebab mereka tidak mengiktirafnya sebagai pengganti Nabi. Beliau berbincang bersama-sama dengan Sayyidina Umar bagaimana cara untuk menghadapi mereka.

- Advertisement -

Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk berperang dengan golongan tersebut kerana mereka dianggap murtad. Sebab mereka tidak melaksanakan salah satu rukun Islam. Namun, Sayyidina Umar tidak bersetuju.

Sayyidina Umar membaca hadis:

أُمِرْتُ أنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حتَّى يَشْهَدُوا أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ
Nabi telah berkata bahawa tidak boleh membunuh sesama orang Islam selagi mana orang itu mengucap dua kalimah syahadah serta darah dan harta mereka dilindungi. Beliau tetap berkeras dengan keputusannya. Beliau pun meminta supaya Sayyidina Umar membaca hadis tersebut sampai habis.

فَإِذَا فَعَلُوا ذلكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وأَمْوَالَهُمْ إلَّا بحَقِّ الإسْلَامِ، وحِسَابُهُمْ علَى اللَّهِ
Maksudnya “kecuali dengan hak Islam.” Mereka telah melanggar hak Islam dengan enggan membayar zakat. Maka, sudah berlaku Riddah. Apabila murtad, darahnya menjadi halal. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 25)

Sebab Nabi menyebut dalam hadis yang lain:

لا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، يَشْهَدُ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأَنِّي رَسولُ اللَّهِ، إلَّا بإحْدَى ثَلاثٍ: النَّفْسُ بالنَّفْسِ، والثَّيِّبُ الزَّانِي، والمارِقُ مِنَ الدِّينِ التَّارِكُ لِلْجَماعَةِ
Tidak halal darah seorang muslim itu kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab. Sebab yang pertama ialah orang yang berzina, dia boleh direjam sehingga mati. Sebab yang kedua ialah orang yang membunuh, maka dia dihukum Qisas. Dan sebab yang ketiga ialah orang yang meninggalkan Islam atau murtad dalam bahasa mudahnya. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 6878).

Jadi, enggan mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam kalangan Riddah menurut pandangan Sayyidina Abu Bakar pada waktu itu. Hukumannya ialah mati.

Sesiapa yang murtad, diberi peluang kepadanya untuk bertaubat dalam masa tiga hari. Jika tidak, dia harus dipancung. Adapun terdapat khilaf dalam perkara ini. Ada yang mengatakan bahawa orang yang murtad perlu dihukum bunuh sekiranya dia mengganggu-gugat kerajaan.

Dia boleh mengganggu kerajaan dengan bergerak dalam kumpulan yang ramai. Tetapi, kalau dia seorang sahaja yang murtad dan tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Islam, maka dia tidak perlu dibunuh dan dikurung sahaja sehingga mati.

Oleh sebab itu, Sayyidina Abu Bakar mengambil keputusan untuk berperang. Menubuhkan dua belas pasukan tentera. Kebanyakannya dipimpin oleh pemuda-pemuda dari Taif yang baru sahaja memeluk Islam.

Jadi, Allah telah memakbulkan doa Nabi. Semasa Nabi berdakwah ke Taif, Nabi dilempar batu, dimaki dan dikejar sehingga tumit kakinya berdarah. Nabi berhenti seketika di sebuah kebun.

Nabi berdoa dengan satu doa yang sangat masyhur dan disebut sebagai Doa Taif. (Rujuk Sirah Ibnu Hisham: 1/420).

اللّهُمّ إلَيْك أَشْكُو ضَعْفَ قُوّتِي، وَقِلّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ! أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي، إلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ أَمْرِي؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنّ عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَك، أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ، لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك
Nabi mengadu hal kepada Allah. Lalu, Jibril turun dan bertanya kepadanya apa yang nak dibuat. Kalau boleh, Jibril mahu mengangkat bukit Taif dan menghempap ke atas mereka. Nabi menolak permintaan Jibril. Nabi berkata, tidak mengapalah orang-orang tua tidak mahu menerima Islam, cuma Baginda berharap bahawa anak cucu mereka menerima dan membela Islam. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 3231).

Allah menerima doa Nabi. Setelah Nabi wafat, pada zaman Sayyidina Abu Bakar, yang memperjuangkan Islam di Madinah pada ketika itu, menjadi panglima perang atau askar sehingga syahid ialah pemuda-pemuda dari Taif.

Baru sahaja memeluk Islam, setelah pembukaan Kota Makkah, mereka menjadi pejuang-pejuang Islam. Sehingga akhirnya Musaylamah al-Kazzaab kalah dan semuanya mati dibunuh.

Sayyidina Abu Bakar memerintah selama lebih kurang dua tahun. Dalam tempoh masa pemerintahannya, beliau berlawan dengan golongan-golongan pemberontak atau murtad. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.