Peserta Agropolitan hilang pendapatan dihalang tuai sawit

Rumah peserta terbiar kerana berpindah ke tempat lain bagi mencari rezeki.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis dilaksanakan pada 2009 dengan harapan membantu penduduk miskin tegar keluar dari garis kemiskinan.

Projek itu dilaksanakan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan kos kira-kira RM240 juta. Seramai 585 peserta dipilih menyertai Agropolitan Kelantan Selatan.

Sasaran awal ECERDC purata pendapatan peserta meningkat daripada RM500 kepada RM1,000.

Pada peringkat awal peserta diberi lot rumah dan kebun koko seluas setengah ekar dan mengusahakan ladang sawit di kawasan seluas 10 ekar.

- Advertisement -

Peserta projek tersebut memberitahu ketika awal menyertai Projek Agropolitan Kelantan Selatan mereka memperolehi pendapatan sebanyak RM700 hasil kebun sawit dan RM200 jualan koko.

Bayaran hasil sawit dikira RM150 bagi satu tan metrik dibayar kepada setiap peserta. Ada peserta yang mendapat pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila ECERDC menyerah pengurusan Agropolitan Rantau Manis kepada Kesedar pada 2022. 

Seorang peserta Mohd Zin Daud, 53 berkata, beliau menyertai projek tersebut pada 5 Disember 2011 sedikit sebanyak dapat mengubah kehidupan keluarganya melalui pendapatan hasil ladang sawit dan koko.

Katanya pengurusan ladang sawit diserah kepada peserta dan mereka dibayar upah berdasar jumlah tan sawit yang dituai di kebun.

“Selama bertahun tahun peserta mendapat pendapatan daripada ladang sawit yang diusahakan setiap peserta.

“Namun selepas ladang diserah ECERDC kepada Kesedar, ladang tersebut tidak lagi diurus peserta, sebaliknya Kesedar melantik kontraktor untuk memungut buah sawit.

“Kami tidak lagi dibenarkan bekerja di ladang yang kami usahakan sejak menjejaki kaki ke projek Agropolitan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Zin Daud

Mat Zin yang berasal dari Jeram Tekoh berkata, dia sempat mengusahakan ladang seluas empat hektar itu selama empat tahun sebelum dihalang memasuki ladang oleh kontraktor.

Menurutnya juga peserta diberi bayaran equiti sebanyak RM700 dalam tempoh satu tahun selepas tidak dibenarkan mengusahakan ladang masing-masing bermula Disember 2023.

Ekoran itu katanya, ada peserta terpaksa mencari rezeki di tempat lain kerana hilang pendapatan di ladang sawit yang diusahakan sejak sekian lama selepas pengurusan bertukar.

Malah katanya sekarang ladang sawit projek Agropolitan banyak yang terbiar kerana tidak lagi diurus dengan baik seperti di bawah ECERDC.

Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid menyampaikan sijil tahniah kepada peserta projek Agropolitan.

Sijil tersebut yang ditandatangani Pengerusi Kesedar mencatat ‘Dengan sukacitanya Kesedar mengucap tahniah kepada peserta kerana telah dipilih sebagai penerima lot kediaman di Taman Agropolitan Kelantan Selatan’.

Ladang sawit terbiar selepas diurus di bawah Kesedar.

Seorang lagi peserta Agropolitan Rantau Manis, Rozali Mamat, 53, sijil yang diberi Timbalan Perdana Menteri tidak memberi sebarang makna kerana ia bukan geran lot rumah.

Katanya, sijil itu sekadar ditulis ucapan tahniah seumpama pelajar tadika yang tamat belajar.

“Kami meminta Kesedar mengembalikan semula ladang terbabit supaya peserta dapat membangun dan mencapai visi penubuhan Agropolitan Rantau Manis seperti peringkat awal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024