KANGAR: Kes orang hilang yang semakin meningkat di Malaysia, terutama melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Mereka menyeru agar semua pihak, terutamanya ibu bapa, keluarga dan masyarakat, mengambil tindakan pantas apabila mendapati seseorang hilang di kawasan mereka.
Ali Zikri Mohammad Syahnaz, 20, pelajar semester dua program Ijazah Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, menekankan bahawa tanggungjawab untuk melaporkan orang hilang tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa dan keluarga.
Beliau menegaskan, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling yang mengetahui tentang kehilangan seseorang perlu segera menghebahkan berita tersebut supaya tindakan pantas dapat diambil untuk mengesan individu hilang.
“Berita kehilangan orang sekarang semakin menjadi-jadi dan membimbangkan, seperti yang sering dipaparkan di media cetak dan media sosial,” katanya.
Beliau turut mengulas, walaupun terdapat kes-kes orang hilang yang berjaya diselesaikan, seperti kes Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Iskandar Puteri, Johor yang ditemui selamat pada Julai lalu, banyak kes berakhir dengan tragedi yang menyayat hati.
Ali Zikri merujuk kepada misteri kehilangan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang berakhir dengan penemuan mayat yang tidak sempurna di tepi jalan berhampiran Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu.
Kes tersebut disahkan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan memberi kesedaran bahawa ancaman kehilangan orang boleh membawa kepada pengakhiran yang tragis.
Rakannya, Ahmad Khairul Danial Mohd Depi, 20, pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, pula berharap insiden kehilangan orang ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua, terutamanya kanak-kanak dan belia.
Beliau menasihati agar orang ramai tidak terlalu mudah mempercayai individu yang baru dikenali melalui media sosial dan menegaskan kepentingan untuk sentiasa memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan bagi memudahkan pengesanan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Syed Muhammad Fitri Sayid Mohamad, 20, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, turut berkongsi pandangan bahawa setiap individu perlu mengambil langkah berjaga-jaga, seperti mengelakkan berjalan seorang diri, tidak mempamerkan barangan berharga dan tidak berkongsi lokasi secara terbuka.
Beliau juga menekankan kepentingan untuk memaklumkan pergerakan kepada keluarga terdekat atau rakan-rakan.
“Kadang kala, kes orang hilang bukan disebabkan jenayah, tetapi kerana individu tersebut keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan tanpa memaklumkan keluarga, dan akhirnya tersesat atau pulang lewat ke rumah,” tambah Syed Muhammad Fitri.
Katanya juga, ada kes di mana orang hilang kerana merajuk dengan keluarga, lalu memilih untuk bermalam di rumah rakan-rakan tanpa memberitahu sesiapa.
Dalam senario semasa, semua pihak harus memainkan peranan agar insiden orang hilang dan tragedi yang berkaitan tidak dipandang ringan.
Pelajar KUIPs, termasuk Syed Muhammad Fitri, menegaskan kesediaan mereka untuk membantu masyarakat dalam menangani masalah orang hilang ini.
“Saya dan rakan-rakan di KUIPs sentiasa bersedia membantu sekiranya masyarakat, terutamanya pelajar, ingin berkongsi maklumat atau memerlukan pertolongan dalam menangani masalah orang hilang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!