Jurutera perlumbaan Sergio Perez akan digantikan

Sergio Perez (kanan) dan Hugh Bird. (FOTO: GPFans)
- Advertisement -

MILTON KEYNES: Pasukan Formula 1 Red Bull mengesahkan bahawa akan ada perubahan terhadap petugas garaj pemandunya, Sergio Perez untuk perlumbaan akan datang yang bakal menyaksikan jurutera perlumbaan, Hugh Bird mengambil cuti paterniti.

Bird telah menjadi jurutera perlumbaan bagi Perez sejak musim pertama pelumba Mexico itu bersama Red Bull pada 2021, namun tanggungjawab itu akan diberikan kepada jurutera prestasi, Richard Wood bermula pada Grand Prix Belanda hujung minggu ini, lapor F1.com.

Dalam pratonton pra-acara rasmi pasukan itu, Perez mengulas bahawa ‘semua orang akan melihat perubahan’ apabila pertukaran itu berlaku di Litar Zandvoort.

- Advertisement -

“Hugh Bird, jurutera perlumbaan saya sedang menjangkakan bayi tidak lama lagi. Jadi akan meluangkan sedikit masa di rumah dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan keluarganya dengan kedatangan baharu mereka,” katanya.

Perez turut menambah bahawa dia kembali dari cuti musim panas dengan perasaan ‘segar dan bersedia untuk pergi’ selepas pencapaiannya dalam perlumbaan Grand Prix sebelum ini tidak memberangsangkan.

“Cuti musim panas adalah sangat penting untuk semua orang dalam pasukan dan keseluruhan sukan, dengan begitu banyak perlumbaan, kini semua orang memerlukan masa rehat dan set semula lebih daripada sebelumnya.

“Saya tidak sabar untuk kembali memandu jentera hujung minggu ini,” ujarnya.

Beliau sebelum ini menyaksikan penyingkiran awal daripada pusingan kelayakan selepas tersingkir di pusingan pertama dan pusingan kedua kelayakan, serta memperoleh mata yang rendah selepas tamat perlumbaan, sekaligus membawa kepada banyak spekulasi mengenai masa depannya bersama pasukan itu.

Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner baru-baru ini menyifatkan prestasi Perez sebagai ‘tidak mampan’, dengan pasukan itu berusaha untuk menghalang pasukan seperti McLaren, Ferrari dan Mercedes daripada mendahului kedudukan pasukan keseluruhan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 21/8/2024