
BESUT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menggesa syarikat telekomunikasi Celcom meningkatkan liputan internet di kawasan Bukit Tanah, di sini.
Dalam satu kenyataan, beliau menyuarakan kekecewaannya terhadap liputan yang lemah di kawasan tersebut, walaupun selepas penggabungan antara Celcom dan Digi.
Menurut Azman, penduduk di Bukit Tanah, termasuk beliau sendiri, sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan isyarat internet yang stabil.
“Kampung ambe (saya) sendiri di Bukit Tanah masih agak lemah. Nak meeting online memang tak dapat.
“Ingatkan bila Celcom kahwin dengan Digi maka liputan jadi semakin baik. Tapi nampaknya tak ada apa-apa perubahan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, walaupun telah banyak usaha dilakukan untuk menaik taraf liputan internet di Jabi, termasuk pembinaan tujuh pemancar baharu dalam tempoh lima tahun yang lalu, kampungnya di Bukit Tanah masih mengalami masalah liputan.
“Jabi kita sudah usaha sebaiknya untuk naik taraf dalam isu liputan internet. Sebanyak tujuh pemancar sudah didirikan dalam tempoh 5 tahun lepas terutama zaman Perikatan Nasional (PN) memerintah di Putrajaya.
“YB tak duduk saja. Banyak kampung yang agak kritikal liputan sebelum ini sudah dapat liputan 3G,” katanya.
Kata Azman beliau adalah pengguna setia Celcom sejak 1999 dan berharap pihak syarikat akan segera mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti liputan di kawasan tersebut.
“Ambe adalah pengguna setia Celcom yang tak pernah berpaling tadah. Celcom kena bantu segera kampung YB Jabi dan kawasan sekitar.
“Jika Sarawak sudah mampu mendapat liputan 5G di banyak tempat, kita di sini masih terkandas dengan E atau kadang-kadang H,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!