ADUN rakam takziah kepada keluarga mangsa lemas

Solat jenazah mangsa lemas, Allahyarham Ahmad Hashim di Masjid Permatang Buluh.
- Advertisement -

JERAI: ADUN Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa lemas, Ahmad Hashim, 71, yang ditemui pasukan penyelamat, semalam.

Mayat mangsa ditemui pada jam 3.45 petang semalam, tersangkut di pokok hutan di tebing Sungai Kuala Sala, kira-kira 1.6 kilometer daripada lokasi yang dilaporkan beliau terjatuh.

Mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala udang di Kampung Seberang Tandop, Kuala Sala, kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, pihaknya terpaksa menggunakan bot kecil untuk membawa keluar mayat mangsa kerana lokasi penemuan agak sempit dan sukar dilalui.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk proses pengecaman oleh waris sebelum bedah siasat dilakukan,” katanya.

Kelmarin katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 malam oleh ahli keluarga yang memaklumkan bahawa warga emas itu masih belum pulang daripada menjala udang, dan disyaki jatuh ke dalam sungai.

Bapa kepada lapan anak dan tinggal berdekatan lokasi kejadian dikatakan sering menjala udang dan ikan di sepanjang Sungai Kuala Sala sebagai hobi semasa lapang.

Jenazahnya selamat dikebumikan di kawasan Perkuburan Islam Permatang Buloh, kira-kira jam 11.30 malam tadi. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!