ALGIERS: Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune berikrar untuk menghantar bantuan ketenteraan dan kemanusiaan ke Gaza jika Mesir membuka sempadannya, dalam mempergiatkan sokongan negara itu sejak sekian lama untuk perjuangan Palestin.
Bercakap dalam kempennya menjelang pilihan raya presiden pada 7 September depan, Tebboune menekankan kesediaan negaranya untuk campur tangan secara langsung dalam perang di Semenanjung Gaza yang diduduki oleh Pasukan Pendudukan Zionis Israel, lapor Morocco World News.
“Saya bersumpah dengan Allah bahawa jika Dia memudahkan pembukaan sempadan ke Gaza, kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada orang ramai pada Ahad di Constantine, sebuah bandar di timur Algeria.
Tebboune dalam pada itu menegaskan bahawa jika Mesir membenarkan akses ke negaranya, tentera Algeria akan dihantar ke Gaza untuk membantu dalam usaha pembinaan semula, termasuk penubuhan pesat kemudahan perubatan.
“Sebaik sahaja sempadan dibuka dan trak kami dibenarkan masuk, kami akan membina tiga hospital dalam masa 20 hari, dan kami akan menghantar ratusan doktor untuk membantu membina semula apa yang telah dimusnahkan oleh Zionis.
“Palestin bukan isu rakyat Palestin sahaja, ia juga isu kita. Ada yang mengatakan perpaduan antara Palestin dan Algeria ini tidak bermakna jika dilihat dari jarak yang jauh.
“Tetapi kita tidak jauh, jaraknya hanya geografi, hati saling berdampingan,” tambahnya.
Sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, Algeria telah menyatakan solidariti dengan negara itu, yang dilihatnya sebagai simbol penentangan terhadap kuasa penjajah dan pendudukan.
Pada Mei lalu, kerajaan Algeria telah mengemukakan resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyeru untuk menamatkan keganasan di Rafah dan gencatan senjata di seluruh Semenanjung Gaza.
Walaupun resolusi itu disekat oleh Amerika Syarikat, Algeria terus menyokong hak Palestin dalam rangka kerja PBB. -Agensi/– HARAKAHDAILY 20/8/2024