ALLAH akan menolong Nabi dalam perjuangannya di dunia dan menempatkannya pada kedudukan yang mulia di akhirat. Maknanya, perjuangan Islam pada zaman Nabi akan berjaya dan sejarah telah pun membuktikannya.
Apabila Nabi membawa Islam, pada awalnya seorang diri, kemudian isterinya Khadijah, kemudian sepupunya Sayyidina Ali dan beberapa orang terdekat seperti Sayyidina Abu Bakar. Sehingga akhirnya Baginda berjaya menubuhkan kerajaan di Madinah.
Kalau dilihat pada peringkat awal, mustahil untuk Nabi menang. Sebab Nabi hidupnya susah, tidak mempunyai apa-apa malah seorang anak yatim. Orang yang mengikutinya pun ialah orang yang tidak mempunyai harta kecuali Sayyidina Abu Bakar dan beberapa orang lagi. Yang lain miskin dan merupakan hamba.
Namun, inilah perancangan Allah dan bantuan-Nya akan tiba. Akhirnya, berjaya menegakkan Islam di Madinah dan mengalahkan Musyrikin di Makkah. Setelah itu, pada zaman Saidina Umar berjaya mengalahkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Tiada kuasa yang lebih besar daripada Rom dan Parsi.
Parsi merupakan antara kerajaan yang paling besar dalam sejarah dunia. Menakluki Afghanistan sehingga ke Turki, sampai ke sempadan Greece, kemudian rapat ke India. Besarnya kerajaan Parsi pada waktu itu sehingga Eropah pun takut dengannya. Ada pemimpin-pemimpin yang hebat dalam sejarah.
غُلِبَتِ الرُّوم، فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
Maksudnya, “Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya.” (Surah Ar-Rum: 2-3).
Rom akan dikalahkan oleh Parsi. Tetapi, setelah itu Rom bangkit semula. Orang Islam lebih cenderung kepada Rom kerana dekat dengan agama. Orang Parsi beragama Majusi yang menyembah api. Tetapi, orang Rom beragama Kristian.
Agama Kristian mempunyai hubungan dengan Islam dalam sejarah kerana datang daripada ajaran Nabi Isa. Namun akhirnya, kedua-dua kerajaan besar ini jatuh bermula pada zaman Sayyidina Umar. Kerajaan Islam mula berkembang keluar daripada Semenanjung Tanah Arab. – HARAKAHDAILY 20/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!