KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim, menuntut pihak yang menyebarkan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam pemberian sogokan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, menarik semula tuduhan fitnah sebelum tindakan undang-undang diambil.
Beliau menegaskan bahawa gambar yang tular di media sosial baru-baru ini bukan diambil semasa kempen PRK Nenggiri, seperti yang didakwa, sebaliknya, gambar itu dirakam semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jengka.
“Gambar ini bukan di Kelantan dan saya tidak pernah terlibat sebarang kempen di Nenggiri secara bersemuka seperti yang didakwa.
“Ini adalah fitnah dan saya berharap individu yang memuat naik gambar ini bertaubat sebelum kita mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada Isnin, tular satu hantaran di laman sosial Facebook oleh seorang pemilik akaun, berbunyi “Steady PN (Perikatan Nasional) Pahang. Kat Pahang kaba takda duit. Sampai kelantan dia tabur duit. Cilako, Sapo kenai dia ni?
Sekeping gambar memaparkan Shahril Azman memakai baju PN bersalaman individu yang duduk di sebuah kedai.
Hantaran terbabit kemudiannya dikongsikan oleh kumpulan suara penduduk Jengka.
Shahril Azman menjelaskan bahawa gambar itu dirakam ketika beliau singgah untuk membeli lemang di sebuah kedai dikenali sebagai Mezad Rantau Perintis, di Jengka semasa kempen PRU15.
Peniaga terbabit juga telah mengesahkan perkara itu berlaku pada 2 November 2022.
Beliau menyifatkan tuduhan terbabit adalah usaha untuk merosakkan reputasinya sebagai wakil rakyat.
“Saya harap kenyataan ini dapat menamatkan berita palsu yang tersebar di media sosial,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!