KLUANG: Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kluang sudah bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bakal bermula pada 14 September ini.
Menurut satu kenyataan bersama oleh ketua bagi setiap parti komponen kawasan Parlimen itu iaitu PAS, BERSATU dan GERAKAN, ketiga-tiga parti telah mengadakan mesyuarat malam tadi berkaitan beberapa perkara penting sebagai persediaan ke arah PRK tersebut.
“PN Kluang memberikan fokus terhadap kesiapsiagaan untuk menghadapi PRK ini dengan membentuk jentera pilihan raya yang melibatkan ketiga-tiga parti komponen serta pengagihan peranan yang akan diselaraskan dari masa ke masa.
“PN Kluang juga akan sentiasa akur dengan apa jua keputusan yang ditetapkan oleh PN negeri Johor dan PN Pusat termasuklah yang berkaitan dengan soal calon kerana apa yang penting adalah untuk memastikan PN akan berjaya memenangi PRK ini nanti,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, PN Kluang akan terus mengeratkan hubungan sesama ahli parti komponen dengan semangat setiakawan yang telah terjalin selama ini iaitu semangat ‘Tiga Sekawan’ yang telah diwujudkan sejak tahun 2021 lagi.
“PN Kluang juga menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PN khususnya di Kluang untuk turut sama menghulurkan bantuan tenaga dan kewangan bagi merialisasikan hasrat untuk menawan DUN Mahkota,” katanya.
Kenyataan tersebut yang dibuat bersama oleh Ketua Bahagian BERSATU Parlimen Kluang, Mohd Nor Lingan dan Yang Dipertua PAS kawasan Kluang, Mohd Nor Mohamad dan Pengerusi GERAKAN Bahagian Kluang, Pang Wui Ming dimuatnaik di laman _Facebook_ rasmi Perikatan Nasional Kluang sebentar tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.
DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Allahyarham memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH. – HARAKAHDAILY 19/8/2024