Polis tangkap ‘hantu’ Jalan Austin

"Hantu' yang sering mengusik pengguna jalan raya di Jalan Austin Height, Johor Bahru akhirnya berjaya ditahan polis.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menahan seorang wanita yang disyaki menyamar sebagai hantu dan bertindak menyergah pengguna jalan raya di Jalan Austin Height, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam kenyataannya berkata, wanita yang berusia 31 tahun itu ditahan pada malam Sabtu oleh Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ)Balai Polis Setia Indah, sekitar jam 10.51 malam hasil maklumat yang diberikan orang ramai.

- Advertisement -

“Pada 27 Julai yang lalu, sekitar 12.30 tengah hari, Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru selatan telah menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita menyamar menjadi hantu dan bertindak menyergah kenderaan awam di tepi Jalan Austin Heights.

“Hampir tiga minggu, polis dapat menahan suspek dan hasil siasatan awal telah mendapati bahawa suspek telah menendang kenderaan yang lalu dengan tujuan untuk mengakibatkan kemalangan terhadap dirinya dan memeras wang daripada mangsa yang melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, hasil semakan rekod perubatan mendapati bahawa suspek telah dimasukkan ke zon kuning, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru disebabkan terlibat dalam kemalangan dan mengalami kemurungan.

“Walau bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif daripada pengaruh dadah

“Suspek juga telah dibawa ke ibu Pejabat Polis Daerah johor Bahru selatan untuk siasatan lanjut dan dibawa juga ke HSI untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda yang boleh sampai RM10,000 atau dengan kedua-duanya.

Kes ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987 yang memperuntukkan kesalahan kepada pejalan kaki yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki yang disediakan.

Selain itu, kes boleh juga disiasat di bawah Peruntukan 23, Peraturan-Peraturan Lalu Lintas1959 yang memperuntukkan tanggungjawab pejalan kaki untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan mengganggu laluan kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda atau amaran.

Direkodkan juga, suspek mempunyai satu rekod lampau kes jenayah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM1,000 pada 27 Jun 2018. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!