Kunjungan Diraja ke Kampung Nelayan Warna-warni

- Advertisement -

KANGAR: Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis menerima Kunjungan Diraja oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke sini kelmarin.

- Advertisement -

Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, serta anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.

Ketibaan baginda disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, selaku Ketua Penyelaras Projek Transformasi DiRaja tersebut.

Para pemimpin masyarakat setempat turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda.

Baginda meluangkan masa sekitar satu jam untuk menikmati keindahan dan keunikan Kampung Warna-warni yang merupakan kampung nelayan paling utara di Semenanjung Malaysia.

Baginda juga berkenan mendengar taklimat mengenai pelaksanaan program yang bermula pada tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda.

Projek ini diilhamkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dengan kerjasama MAIPs.

Turun menjayakan projek ini aadlah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, serta pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan penduduk tempatan.

Baginda turut berkenan menyertai aktiviti dekorasi sajian tradisional Laksa Kuala Perlis, selain melawat beberapa lokasi menarik seperti Laman Bunga Kertas dan Laman Putra.

Juga ke Pusat Pembelajaran Komuniti MAIPs, Pengkalan Tangga Batu Raja Syed Alwi, Anjung Persinggahan Raja, dan Laman Rumah Penghulu Omar.

Baginda juga berkesempatan menikmati sajian tradisional lain seperti Garam Belacan, Aiskrim Malaysia Perlis, dan Dodol Warisan, serta menyaksikan persembahan Senam Tari Canggung.

Kunjungan baginda dan kerabat Diraja diakhiri dengan sesi menandatangani plaka keberangkatan lawatan di Rumah Wataniah Negeri Sembilan serta dipersembahkan Tengkolok ‘Putra Julang Darjat’ oleh MAIPs.

Ia merupakan tengkolok rasmi kebanggaan Negeri Perlis sebagai adat memuliakan tetamu kenamaan sebelum Baginda berangkat pulang. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!