Isu wanita Terengganu: DMPNT jawab artikel Malaysiakini

Zarani Othman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Wanita Terengganu tidak memilih,tetapi patuh dan komited kepada ajaran agama Islam.”

Itu respons Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) terhadap  artikel yang ditulis oleh Puan Mariam dari Green Bean Army dan Perak Liberation Organisation, yang diterbitkan portal Malaysiakini baru-baru ini.

- Advertisement -

Dalam tulisan artikel berkenaan, antaranya ia mendakwa bahawa penggunaan agama telah digunakan untuk mengawal kaum wanita dalam sukan serta pelbagai aspek kehidupan di negeri itu. 

Sehubungan itu Ketua DMPNT, To’ Puan Zarani Othman berkata, Terengganu merupakan negeri terawal yang menerima serta mengamalkan Islam di Malaysia. 

Menurutnya, Islam telah membawa ajaran serta cara hidup yang meliputi aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti makan, minum, ke tandas hinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan.

“Kami sebagai orang Muslim yang beriman tidak memilih. 

“Kami patuh kepada Allah SWT kerana Allah telah memberikan pilihan yang terbaik; dan sebagai wanita Muslim, kami Wanita Terengganu tidak memilih, tetapi kami komited untuk mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan kami,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu. 

Beliau berkata, tanggungjawab melindungi dan mengangkat maruah wanita telah bermula semasa kedatangan Islam melalui Nabi Muhammad SAW kerana pada zaman jahiliah, wanita dipandang rendah serta menjadi objek pemuas nafsu semata-mata. 

Dengan kedatangan Islam, kaum wanita diberi hak dan ruang untuk sama-sama terlibat dan menyumbang selagi mana pekerjaan yang dilakukan mengikut syarak dan menjaga adab muslimah.

Dalam Surah Al – Nisa’, 4:34 bermaksud: “Masyarakat juga diingatkan tentang tanggungjawab untuk melindungi dan memelihara hak golongan wanita seperti firman Allah SWT yang bermaksud  bahawa Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” 

Tambah Zarani, isu pengasingan dan kerusi khas bagi tempat duduk kaum wanita di stadium Terengganu juga adalah sama dengan langkah pengasingan koc wanita untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT). 

Konsep pengasingan untuk menjaga hak, keselamatan dan maruah wanita di Terengganu ini telah dilaksanakan di beberapa peringkat. 

“Antaranya penglibatan golongan wanita dalam program persembahan kebudayaan, kesenian dan hiburan meliputi penonton dan mereka yang membuat persembahan; pawagam dan stadium dan peruntukan masa khas atau ruang untuk wanita sahaja di premis sukan, gym dan kolam renang,”  jelasnya. 

Justeru, katanya lagi, langkah ini bertujuan memastikan keselesaan dan privasi wanita terjaga dalam setiap aktiviti yang mereka ceburi dan bukan menafikan hak kaum wanita untuk terus melakukan aktiviti yang disukai.

Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan Negeri Terengganu amat prihatin terhadap isu-isu yang melibatkan wanita, dan sentiasa berusaha untuk memastikan golongan wanita mendapat perhatian dan perlindungan yang sewajarnya. 

Menurut Zarani lagi, sejak PAS mengambil-alih kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2018, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan wanita di negeri ini. 

Antaranya pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita: Hajah Zuraida Md Noor telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 29 November 2018. 

“Dengan adanya ADUN Wanita dapat mengukuhkan portfolio kebajikan dan pembangunan wanita di Negeri Terengganu. 

“Malah, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada tahun 2023, Zuraida telah diberikan kerusi di DUN Ladang dan terus meraih kepercayaan rakyat,: ujar nya. 

Seterusnya adalah mengenai jawatan pemandu wanita diwujudkan bagi menjamin keselesaan penjawat awam wanita dan mengelakkan fitnah serta menjaga adab dalam bekerja.

Tambah beliau, kerajaan negeri Terengganu juga telah menganjurkan Kejohanan Sukan Wanita Terengganu (SUKWA) pada tahun 2022. 

“Kejohanan ini merupakan platform penting untuk memperkasakan wanita dalam bidang sukan, sekaligus mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita negeri ini. 

“Ini juga menunjukkan Islam tidak melarang kaum wanita untuk bersukan tetapi bersukan dalam lingkungan yang selamat dan selesa,” jelas beliau. 

Selain itu, katanya, di  Terengganu turut diadakan Hari Sayyidatina Aishah. 

“Dalam sambutan Hari Sayyidatina Aishah 2022, Dasar Wanita Negeri Terengganu telah dilancarkan. 

“Dasar ini dirangka untuk memelihara, melindungi, memperkasakan, dan membangunkan wanita di Terengganu, berlandaskan syariat Islam serta selari dengan perundangan negara,” ujarnya

Zarani menyatakan, Terengganu juga tidak ketinggalan memberi cuti bergaji penuh, 30 hari bagi kematian suami. 

“Sejak 2019, kerajaan negeri telah menyediakan cuti bergaji penuh selama 30 hari kepada wanita (kakitangan kerajaan) yang kehilangan suami. 

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga emosi wanita yang mengalami kehilangan orang tersayang,” katanya.

Selain itu, turut diadakan program saringan percuma Mammogram dan Pap Smear. 

“Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kesihatan telah memperkenalkan program saringan percuma untuk mencegah penyakit kritikal dalam kalangan wanita. 

“Program ini telah diwujudkan pada 2018, sebagai tanda keprihatinan dan langkah pencegahan terhadap wanita di Terengganu.

“PAS Negeri Terengganu ini telah banyak menjaga kebajikan wanita di Negeri Terengganu, maka ketakutan menguasai parti lawan menyebabkan royalti yang menggerakkan aktiviti kebajikan rakyat disekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -