KUALA LUMPUR: Dasar Malaysia melindungi pihak tertindas terutamanya pada ketika ini, penduduk Palestin di Semenanjung Gaza akibat pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis Israel perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan rasa syukur terhadap pihak kerajaan dalam melakukan misi bantuan kemanusiaan terhadap rakyat negara tersebut.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan rasa syukur terhadap pihak kerajaan dalam melakukan misi bantuan kemanusiaan terhadap rakyat negara tersebut.
“Alhamdulillah misi bantuan kemanusiaan berupa bantuan rawatan kepada warga Palestin seramai 127 pesakit khususnya dari kalangan wanita dan kanak-kanak oleh kerajaan Persekutuan wajar dipuji dan disokong oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan politik,” katanya dalam kenyataan media akaun Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang mengecam tindakan tersebut dengan pelbagai alasan adalah jelas tidak mempunyai jiwa manusiawi dalam memahami pendirian dan dasar luar negara ini sendiri.
Tambah beliau, negara ini sentiasa bersama-sama dengan mana-mana rakyat yang ditindas dan bukannya sebaliknya.
“Mereka yang mengecam dengan pelbagai alasan dangkal jelas tidak mempunyai jiwa manusiawi dalam memahami pendirian dan dasar luar Malaysia sebegini yang telah lama kita amalkan berpuluh tahun lamanya.
“Ini adalah satu bentuk ‘kuasa lunak’ (soft power) Malaysia iaitu sentiasa bersama kaum yang tertindas di pentas global sebagai penyelamat dan bukannya pembuli.
“Lagipun, ini bukan pertama kali Malaysia menghulurkan bantuan sebegini kerana ketika pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai di Bosnia oleh pelampau Serbia pada tahun 90an, kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir ketika itu juga telah lakukan tindakan yang sama dengan mengeluarkan sejumlah rakyat Bosnia untuk dirawat mereka di negara kita sebelum mereka dihantar pulang semula ke Bosnia setelah perang tamat,” ujarnya.
Media tempatan melaporkan pada Jumaat lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang sebelum semua pesakit dibawa bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Sehubungan itu, Fahysal mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana berjaya melakukan perkara sebegini dalam membela nasib rakyat Palestin.
Kata beliau lagi, tidak dinafikan bahawa bukan mudah untuk kerajaan perkara tersebut.
“Langkah ke hadapan kerajaan wajar pertimbangkan bentuk bantuan yang lebih terangkum dan tersusun melibatkan banyak lagi negara yang bersekutu dengan agenda pembebasan Palestin tanpa mengira sama ada dari kalangan negara Islam ataupun bukan Islam kerana usaha ini adalah demi kemanusiaan sejagat untuk menyelamatkan nyawa mangsa genosid di Gaza, Palestin.
“Semoga Allah SWT memberkati usaha kita ini dan mengizinkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibuat kepada rakyat Palestin yang terkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!